My Add

Friday 25 May 2012

Diarah bayar RM28.59 juta

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES 
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 24 Mei, 2012: Ahli perniagaan, Low Thiam Hoe dan syarikat Mekuritek Sdn. Bhd. masing-masing diperintah membayar RM28.59 juta kepada Hong Leong Finance Bhd. (Hong Leong Finance) ekoran kegagalan mereka melunaskan kemudahan pinjaman bersindiket berjumlah RM445 juta, kira-kira 14 tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Hadhariah Syed Ismail dalam keputusannya hari ini berkata, perjanjian kemudahan itu telah diberikan, namun pembayaran berdasarkan terma dan syarat yang ditetapkan, gagal dipatuhi.

Thiam Hoe sebelum ini, mengemukakan permohonan untuk meminda pernyataan pembelaan bagi memasukkan dakwaan mengenai pembabitan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Hong Leong Finance, Tan Sri Quek Leng Chan di sebalik perjanjian tersebut.

Namun, Mahkamah Tinggi pada 19 Mac lalu, menolak permohonan Thiam Hoe yang diwakili oleh peguam, D. Paramalingam kerana sebarang pindaan hendaklah dibuat sebelum kes dibicarakan dan bukannya dikemukakan pada saat-saat akhir.

Thiam Hoe dinamakan sebagai defendan dalam saman yang difailkan oleh Hong Leong Finance terhadapnya pada 19 Ogos 1998.

Perjanjian kemudahan pinjaman bersindiket itu, menurut Paramalingam, membabitkan urusan pengambilalihan institusi kewangan, Kewangan Bersatu Bhd. oleh Hong Leong tetapi usaha itu gagal dilaksanakan.

Tuntutan itu didengar bersama kes saman balas oleh Thiam Hoe terhadap Hong Leong dan Mekuritek, bersama dua penjamin, Hussin Abdul Karim dan Agus Salim Mohd. Dom serta Abdullah Abd. Karim Bajerai.

Hong Leong Finance selaku plaintif dalam pernyataan tuntutannya menyatakan, satu perjanjian pinjaman telah dimasuki antara syarikat kewangan itu dengan peminjam-peminjam Sime Bank Bhd., BSN Commercial Bank (M) Bhd., DCB Bank Bhd., Southern Bank Bhd. dan Southern Finance Company Bhd.

Dalam perjanjian tersebut, menurut plaintif, peminjam-peminjam bersetuju secara berasingan untuk mengadakan kemudahan pinjaman sehingga jumlah agregat maksimum RM30,161,000 tertakluk kepada terma dan syarat.

Dalam terma tersebut juga, plaintif menyatakan, boleh melalui notis bertulis kepada defendan mengisytiharkan satu pelanggaran telah berlaku atau mengisytiharkan prinsipal dan faedah pinjaman serta lain-lain jumlah yang perlu dibayar di bawah perjanjian tersebut mesti dilakukan serta-merta.

Menurut plaintif yang diwakili peguam Andrew Chiew, defendan telah melanggar tanggungjawab berhubung notis panggilan margin dan gagal melunaskan faedah yang perlu dibayar di bawah perjanjian tersebut.

Sehubungan itu, plaintif menuntut jumlah terhutang RM28,594,903.66 yang perlu dibayar setakat 10 Jun 1998, faedah serta kos.

Hakim Hadhariah dalam penghakimannya juga menolak tuntutan balas yang difailkan oleh defendan yang mendakwa berlaku perbuatan salah laku atau kecuaian nasihat sehingga mendorong beliau untuk mengambil pinjaman.

"Terdapat lima peminjam di bawah kemudahan pinjaman bersindiket dan RM445 juta telah diberikan. Ia adalah satu kes yang mudah.

"Defendan gagal membayar mengikut terma-terma perjanjian. Mereka jelas melanggar perjanjian pinjaman. Oleh itu, plaintif mempunyai hak untuk mendapatkan pembayaran balik ke atas pinjaman tersebut,'' ujar hakim itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment