My Add

Monday 28 May 2012

LPPPQ lulus 46 lesen cetak, terbit Al-Quran

KUALA TERENGGANU, ISNIN, 28 Mei, 2012: Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran (LPPPQ) Kementerian Dalam Negeri memberi kelulusan sebanyak 46 lesen mencetak dan menerbit teks al-Quran dan 399 perakuan betul pruf akhir teks al-Quran sehingga Mac tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Harussani Zakaria berkata LPPPQ bertanggungjawab dalam menjaga dan mengawal teks serta bahan yang berkaitan dengan ayat suci al-Quran khususnya di negara ini.

"Hal ini amat penting agar ayat-ayat suci al-Quran sentiasa terpelihara daripada sebarang kesilapan dan kesalahan terutamanya dari segi proses percetakan dan penerbitan ayat-ayat al-Quran sama ada di dalam negara mahupun yang diimport,” katanya.

Harussani, yang juga Mufti Perak berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam melaksanakan Akta Percetakan Teks al-Quran, LPPPQ menerima beberapa aduan berhubung al-Quran, antaranya penyalahgunaan nombor siri kelulusan perakuan betul pruf akhir teks al-Quran yang diberi kepada sesuatu syarikat oleh syarikat yang lain.

"Kami juga menerima aduan percetakan teks al-Quran oleh syarikat yang tidak mempunyai autoriti untuk berbuat demikian, serta aduan mengenai pelupusan bahan-bahan buangan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran yang dibuat secara tidak beradab yang menimbulkan kebimbangan dan kemarahan masyarakat Islam di negara ini,” katanya.

Harussani berkata, sikap sebegini amat tidak wajar dan menunjukkan kerakusan mereka dalam mengaut keuntungan dengan menggunakan nama al-Quran.

Sehubungan itu, katanya, LPPQ amat mengharapkan kerjasama daripada masyarakat Islam di negara ini menjadi ”mata dan telinga” KDN dan lembaga untuk memberi maklumat sekiranya terdapat kitab al-Quran yang tidak mendapat kelulusan lembaga dan KDN di pasaran. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment