My Add

Friday 4 May 2012

Masalah dalaman UMNO Perak selesai: Zambry

PANGKOR, JUMAAT, 04 Mei, 2012: Masalah dalaman UMNO yang memberikan kesan buruk kepada parti itu pada pilihan raya umum 2008 dapat diselesaikan, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. 

Beliau berkata, beberapa pihak sudah menemuinya sebelum ini dan berjanji perkara itu tidak akan berulang lagi demi masa depan parti dan Barisan Nasional.

"Semua anggota parti kini sedar kesilapan itu menyumbang kepada kekalahan yang menyebabkan Perak ditadbir pakatan pembangkang selama 11 bulan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan tahunan UMNO cawangan Pulau Pangkor hari ini.

Zambry berkata, kajian UMNO mendapati sebahagian besar anggota parti tidak keluar mengundi kerana yakin calon akan menang dan keduanya faktor sabotaj kerana tidak berpuas hati dengan calon. 

"Pengalaman itu memberikan kesan yang buruk kepada parti dan Barisan Nasional (BN) dan hasil daripada itu pelbagai pihak mengakui kesilapan yang berlaku itu," katanya. 

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, semua parti komponen kini sedang memberikan tumpuan bagi mencari kemenangan pada pilihan raya umum akan datang. 

Katanya, soal pengagihan kerusi kepada semua parti komponen sudah pun diselesaikan sebelum ini. 

"Pada keseluruhannya, kita akan mempertahankan kerusi-kerusi yang dimenangi dan pada masa yang sama merampas semula kerusi milik BN yang dimenangi pakatan pembangkang pada pilihan raya sebelum ini. 

"Untuk itu, kita sudah membuat beberapa persediaan awal melalui perbincangan dengan semua parti komponen bagi membolehkan calon terbaik dipilih bagi mewakili parti itu," katanya. 

Bagaimanapun beliau enggan mengulas berhubung pertukaran kerusi di antara parti walaupun banyak pihak mahukan calon dari parti kaum majoriti diletakkan di beberapa kawasan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment