My Add

Sunday 20 May 2012

MB Selangor: 'Soal calon masih rahsia'

NUR FARHANA ABDUL MANAN
SUBANG JAYA, AHAD, 20 Mei, 2012: “Memang secara tradisi kita tidak bincang dan hebahkan nama calon supaya tidak berlaku perbalahan antara beberapa pihak."

Demikian kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika ditanya mengenai senarai calon bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau berkata, senarai nama calon akan dirahsiakan sehingga satu masa yang ditentukan juga kerana tidak mahu wujud perbalahan antara penyokong.

Menurutnya, keputusan mengenai calon dibuat oleh Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat dan selepas itu Presiden atau Ketua Parti berkenaan akan menandatangani surat watikah untuk bertanding.

“Biasanya adalah penting perkara ini (nama calon) dirahsiakan sehingga masa ditentukan kemudian supaya tidak terdapat perbalahan antara penyokong mereka yang disenarai dan tidak disenaraikan.

“Tradisi ini dilakukan bukan sahaja untuk menentukan pilihan raya dapat dibuat dengan betul tetapi satu strategi yang baik supaya tidak ada berlaku perselisihan antara beberapa pihak,” katanya selepas merasmikan Program Cycle Fest di Kompleks Sukan MPSJ, di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada PR Selangor akan menampilkan muka-muka baru menggantikan yang lama, Abdul Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkenaan perkara itu.

Katanya, dalam apa-apa pilihan raya mesti ada yang baru dan lama dan semuanya akan diambil kira dalam pemilihan dibuat nanti.

“Saya tidak mahu menyatakan spekulasi mengenai perkara ini kerana kita ada satu jawatankuasa khas tiap-tiap parti yang akan mengadakan perbincangan .
“Apa yang pasti dalam PR, kita mempratikkan ‘one to one’ dengan meletakkan satu calon menentang seorang calon daripada Barisan Nasional (BN),” katanya. - SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment