My Add

Monday 28 May 2012

MCA cadang kerajaan beri BR1M 2

KUALA LUMPUR, AHAD, 27 Mei, 2012: MCA mencadangkan kerajaan agar memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kali kedua memandangkan pertumbuhan ekonomi negara yang dilihat kukuh.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, kerajaan dilihat mampu untuk memberikan BR1M sekali lagi tahun ini berdasarkan kedudukan ekonomi sekarang dan pada masa sama membantu rakyat berpendapatan rendah menghadapi kenaikan harga barang keperluan.

''Saya akan bawa perkara ini dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Negara yang akan dipengerusikan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok dan berharap beliau akan mempertimbangkan cadangan ini.

''Melihat kepada kedudukan ekonomi negara sekarang, tidak mustahil pemberian BR1M boleh dilaksanakan lagi tahun ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

BR1M merupakan pakej bantuan kewangan yang berjumlah RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Seramai 4.78 juta orang telah menerima manfaat daripada pakej bantuan tersebut.

Sementara itu, beliau juga akan mencadangkan kepada kerajaan agar semua pelajar yang menggunakan bas sekolah diberikan subsidi.

Tegasnya, biasanya mereka yang menggunakan khidmat bas sekolah untuk ke sekolah adalah daripada golongan berpendapatan rendah.

''Kos untuk membayar perkhidmatan bas agak tinggi khususnya kepada ibu bapa yang mempunyai bilangan anak ramai.

''Sekiranya pemberian subsidi dilaksanakan, sudah tentu ia akan membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment