My Add

Thursday 17 May 2012

Melayu dalam DAP ancam perpaduan

KUALA LUMPUR, RABU, 16 Mei, 2012: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya tidak berasa selesa melihat penyertaan orang Melayu di dalam DAP.

Tegas beliau, sebagai sekutu dalam pakatan pembangkang, Pas dan PKR tidak boleh menganggap perkembangan itu sebagai sesuatu yang menguntungkan sebaliknya boleh menimbulkan ancaman terhadap perpaduan orang Melayu.

"Imej parti pelbagai kaum yang dicerminkan oleh DAP hanya pada permukaan sahaja sedangkan di dasar parti itu penuh dengan warna-warna perkauman.

"Saya yakin orang Melayu tidak dapat terima perjuangan DAP sebagai parti pelbagai kaum kerana kita boleh berbeza pendapat dalam politik tetapi dalam soal bangsa dan agama kita tidak berkompromi," katanya pada majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-66 UMNO dan Perasmian Berkelompok Persidangan Cawangan UMNO Bahagian Gombak di Taman Melawati dekat sini semalam.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Gombak, Abdul Rahim Kamaruddin serta ahli jawatakuasanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengulas pelantikan Prof. Dr. Ariffin Omar sebagai senator menggantikan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang meletak jawatan Naib Presiden DAP ekoran perbezaan pendapat dengan pemimpin DAP berhubung perhimpunan haram Bersih 3.0.

Ariffin yang menyertai DAP sejak tahun lalu ialah bekas Presiden Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN) dan pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Menteri Pertahanan itu berkata, tindakan DAP melantik lebih ramai pemimpin Melayu bukan sekadar untuk memikat sokongan orang Melayu bahkan untuk menjadikan mereka 'kuda tunggangan' parti berkenaan.

"Kita tahu DAP merancang untuk melantik pemimpin Melayu menjadi Menteri Besar di negeri yang mempunyai Undang-Undang Tubuh Negeri yang hanya membenarkan orang Melayu menjadi Menteri Besar," katanya.

Mengenai peletakan jawatan Tunku Aziz, Ahmad Zahid menyifatkan tindakan itu mencerminkan keberanian bekas Naib Pengerusi DAP itu dalam menyatakan pendapat dan kebenaran.

"Saya fikir selama beliau menjadi Naib Pengerusi DAP, beliau belajar banyak pengalaman pahit.

"Pada peringkat awal perjuangan DAP mungkin dianggap demokratik tetapi apabila berada di dalam parti itu beliau sedar bahawa demokratik DAP hanya pada slogan," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment