My Add

Monday 14 May 2012

Melayu terjejas jika BN hilang kuasa: Nor Yakcop

TASEK GELUGOR, AHAD, 13 Mei, 2012: Malaysia bakal kembali ke era penjajahan Portugis pada 1511 sehingga Kesultanan Melayu kehilangan kuasa sekiranya Barisan Nasional (BN) dan UMNO tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Malah, akan muncul Alfonso de Albuquerque baru yang akan menghapuskan agenda pembangunan ekonomi Melayu sehingga menyaksikan bangsa itu menjadi hamba kepada kaum lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, agenda pembangunan ekonomi Melayu mula bertapak di sini terutama Melaka sejak 1400 lagi, namun ia dilenyapkan selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511.

Menurutnya, sejak itu ia hilang ditelan penjajahan sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, barulah asas keusahawanan Melayu itu dikembalikan sampai ke hari ini.

"Melalui kerajaan yang dibentuk pada masa itu, agenda ekonomi Melayu ini terus diperjuangkan tanpa mengetepikan kerjasama dan perkongsian bersama bangsa-bangsa lain.

"Namun, sekiranya BN kalah pada pilihan raya akan datang, tidak mustahil Malaysia kembali ke zaman 1511 itu kerana tidak mustahil Alfonso de Albuquerque baru yang menguasai Putrajaya nanti meminggirkan agenda keusahawanan Melayu," katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan program Jelajah Gemilang Usahawan anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) serta melancarkan MTEM Rangkaian Utara di Dewan Besar Sungai Dua, di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader.

Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, contohnya boleh dilihat sekarang apabila agenda pembangunan Melayu dihapuskan di beberapa negeri yang dikuasai pakatan pembangkang sehingga meminggirkan orang Melayu.

Dalam pada itu, Rizal Faris menegaskan, tiada halangan yang boleh mengekang kejayaan usahawan Melayu sekiranya mereka mempunyai keazaman serta berani bersaing dengan bangsa lain.

"MTEM adalah platform kepada usahawan dan gabungan pertubuhan bukan kerajaan untuk mencungkil bakat usahawan bukan sahaja di bandar, malah di desa," katanya.

"Itulah sebabnya Kelab Peminat Gemilang diwujudkan dengan sasaran 20,000 ahli di seluruh negara, selain tiga ikon usahawan akan dipilih di setiap negeri yang dilawati oleh program Jelajah Gemilang Usahawan ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment