My Add

Monday, 7 May 2012

Mubarak kutuk usaha gulingkan kerajaan

ALOR SETAR, ISNIN, 07 Mei, 2012: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) hari ini mengutuk sekeras-kerasnya usaha berterusan pihak tertentu untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat dengan cara tidak demokratik seperti pemberontakan dan pertumpahan darah.

Dalam satu usul yang dibentang pada Perhimpunan Agung Tahunan Mubarak Malaysia Kesembilan di sini, Mubarak turut mencela kegiatan parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang didalangi kuasa asing untuk merealisasikan matlamat itu.

Ketua Penerangan Mubarak, Datuk Abdul Rahman Sulaiman ketika membentangkan usul itu berkata, Mubarak menggesa rakyat supaya sentiasa waspada terhadap usaha tersebut demi menyelamatkan negara dan menjamin kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat pada masa depan.

"Mubarak juga mengambil ketetapan menyokong usaha kerajaan untuk mengekalkan sistem pemerintahan yang wujud sekarang buat selama-lamanya," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas, berkata perhimpunan NGO yang disokong pembangkang di ibu negara 28 April lepas, adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi sistem demokrasi, sekali gus menunjukkan mereka tidak menghormati kerajaan yang dipilih rakyat menerusi proses yang sah.

Abdul Rahman berkata usaha untuk menggulingkan kerajaan menerusi cara tidak demokratik itu adalah kerana pembangkang tiada pilihan lain untuk menang kerana tidak mampu mencapainya menerusi pilihan raya.

Selain itu katanya pada usia 65 tahun sekarang, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai masa lagi untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri Malaysia.

"Usaha kumpulan yang mahu menggulingkan kerajaan itu juga kerana mendapat semangat daripada kejayaan "Arab Spring" di beberapa negara Arab, yang mendapat sokongan NGO tertentu dan kuasa asing.

"Mereka juga sebar khabar angin selain memburuk-burukkan kerajaan, pemimpin dan institusi. Jika mereka hendak mengambil alih kerajaan, mereka sepatutnya melakukannya secara demokrasi. Tetapi mereka tahu tidak boleh menang dengan cara pilihan raya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment