KUALA LUMPUR - Polis hari ini diminta mengambil tindakan terhadap penganjur perhimpunan yang diadakan di ibu negara Sabtu lepas kerana telah menimbulkan kekecohan dan huru-hara.
Tiga badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Suara Anak Muda 1Malaysia, Kelab Mahasiswa 1Malaysia dan Persatuan Veteran Tentera Melayu membuat laporan yang sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi petang ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamed Zulkarnian Abdul Rahman mengesahkan menerima ketiga-tiga laporan itu.
Ketiga-tiga NGO itu meminta polis mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur perhimpunan, termasuk Datuk S Ambiga, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mereka yang menyertai perhimpunan itu.
Ini kerana tindakan itu bukan sahaja menimbulkan huru-hara, malah melanggar perintah mahkamah yang tidak membenarkan perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka.
Perhimpunan itu, kata NGO berkenaan, turut menyebabkan beberapa anggota polis dan wartawan cedera, serta kemusnahan harta benda awam dan kerosakan beberapa kenderaan polis.
Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu Mohd Ali Baharom berkata mereka mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan dan mendakwa kesemua pihak yang terbabit, khususnya Ambiga, dalam masa terdekat, kerana khuatir mereka akan menganjurkan lagi perhimpunan seumpama ini.
Sementara itu Presiden Kelab Mahasiswa 1Malaysia, Muhammad Nor Kasim berkata persatuan itu amat terkilan dengan tindakan segelintir pelajar yang turut sama terlibat dalam perhimpunan itu.
"Kami sedih kerana mahasiswa tidak sedar yang mereka hanya dipergunakan oleh kumpulan yang mementingkan peribadi mereka," katanya.
Bagi Presiden Suara Anak Muda Malaysia Arman Azha Abu Hanifah, pemimpin pembangkang ini tidak layak digelar pemimpin kerana sanggup memecah-belahkan rakyat.
Arman Azha juga berkata kesemua NGO tersebut akan bergabung untuk menghantar satu memorandum kepada KDN supaya menjalankan siasatan terperinci mengenai pelanggaran undang-undang-undang dan perintah mahkamah oleh penganjur perhimpunan ini dan mereka yang terlibat. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment