My Add

Tuesday 22 May 2012

Pakar selesai 72 peratus aduan rakyat

*MOHD. Zin Mohamed (dua dari kiri) mengadakan sidang akhbar mengenai isu air di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah
SHAH ALAM, ISNIN, 21 Mei, 2012: Pusat Khidmat Rakyat (Pakar) Barisan Nasional (BN) Selangor mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima 3,269 panggilan sehingga kini selepas dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Mei lalu.

Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, ia merupakan peningkatan sebanyak 37 peratus iaitu daripada 1,306 panggilan yang diterima sewaktu memulakan operasi pada 9 April lalu.

Menurutnya, daripada 1,306 panggilan yang diterima itu, sebanyak 938 atau 72 peratus aduan rakyat berjaya diselesaikan manakala 368 aduan atau 28 peratus lagi sedang dalam perhatian.

“Antara masalah yang diselesaikan adalah melibatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), maklumat pengundi dan masalah kebajikan dengan menyalurkannya kepada agensi-agensi berkaitan.

“Masalah yang masih belum diselesaikan pula melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang secara tidak langsung terletak di bawah kuasa kerajaan negeri," katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Selangor, di sini hari ini.

Mohd. Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, tiga kawasan Parlimen yang paling banyak membuat aduan adalah Parlimen Kota Raja (42 kes); Kapar (32 kes) dan Shah Alam (20 kes) yang semuanya terletak di bawah parti pembangkang.

Tambah beliau, Pakar juga menerima panggilan bagi meminta bantuan kebajikan terutama daripada golongan warga emas, golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan pesara yang semuanya telah disalurkan kepada pihak bertanggungjawab.

Menyentuh mengenai isu air, Mohd. Zin berkata, Barisan Nasional (BN) Selangor berjanji akan menyelesaikan kebuntuan dalam usaha menangani masalah pembekalan air bersih di negeri ini dan Lembah Klang sekiranya diberi mandat memerintah semula.

Katamya, sehingga kini, kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor masih enggan memberikan kebenaran supaya Projek Loji Rawatan Air Langat 2 diteruskan sedangkan rizab air di negeri ini hanya tinggal 2.4 peratus berbanding kadar sepatutnya iaitu 20 peratus.

Beliau yang menganggap masalah air tersebut sebagai serius dan genting menegaskan, usaha itu bagi memastikan kepentingan awam untuk mendapatkan sumber air bersih mencukupi terjamin sekali gus mengelakkan rakyat daripada menderita akibat krisis air menjelang 2014. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment