My Add

Thursday 17 May 2012

Penyelidikan tentang pemilih perlu rujuk SPR

PORT DICKSON, KHAMIS, 17 Mei, 2012: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu mana-mana pihak atau kumpulan yang membuat sebarang analisis atau pun penyelidikan bebas terhadap daftar pemilih negara ini supaya merujuk kepada suruhanjaya itu demi memastikan kesahihannya.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini berikutan terdapat segelintir penyelidik bebas di negara ini yang menjalankan kajian berpandukan data dan maklumat SPR dan mengeluarkan kesimpulan kajian yang tidak tepat.

"Analisis serta kajian berpandukan maklumat sekunder yang dianggap tidak beretika itu mendatangkan salah faham dan mampu mengelirukan masyarakat negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus pilihan raya umum ke-13 peringkat Negeri Sembilan dan Melaka di sini, hari ini.

Katanya mereka membuat analisis dan kajian menggunakan data SPR dan kemudian menemui pelbagai maklumat dan kesimpulan kajian yang dibuat tidak tepat.

"Sebagai contoh, seorang penyelidik ini mendakwa bagaimana wujudnya pemilih di negara ini yang berusia melebihi 100 tahun kerana dalam kajiannya dia mempersoalkan kemampuan rakyat negara ini untuk hidup melebihi tempoh berkenaan, sedangkan memang ada individu serta pengundi yang telah melebihi usia itu.

"Lebih menyedihkan, penyelidik turut mempermainkan hasil kajian tersebut dengan menyifatkan kewujudan pemilih berusia lebih 100 tahun di negara ini adalah kerana mungkin Malaysia mempunyai aspek penjagaan kesihatan yang terbaik di dunia," katanya.

Abdul Aziz berkata bukan itu sahaja, malah penyelidik terbabit turut mempertikai ramai pemilih di negara ini memiliki nama yang sama.

"Tapi apa boleh buat, ini sudah nama mereka. Contohnya seperti bukan saya seorang sahaja yang bernama Abdul Aziz Mohd Yusof di negara ini, tapi beratus lagi pemilih yang mempunyai nama serupa ejaan seperti saya," katanya.

Beliau berkata kajian yang berpandukan maklumat sekunder adalah tidak tepat dan penyelidik perlu menyemak serta merujuk secara terperinci data daripada SPR. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment