My Add

Saturday 5 May 2012

Polis berkas semula suspek lari dari lokap

KOTA KINABALU, JUMAAT, 04 Mei, 2012: Dua suspek kes samun dan curi kenderaan yang melarikan diri daripada tahanan polis empat hari lepas, berjaya diberkas semula semalam. 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata suspek berusia 22 dan 28 tahun itu ditahan di Beaufort dalam dua serbuan antara jam 9 pagi dan 2 petang.

"Tangkapan dilakukan berdasarkan risikan dan maklumat yang diterima oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah yang berjaya mengesan suspek dan menahan kedua-duanya," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Hamza berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 224/255A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika melarikan diri dari tahanan polis selain disiasat mengikut Seksyen 395 kanun yang sama atas kesalahan menyamun. 

Dalam kejadian Isnin lalu, lima lelaki yang ditahan di lokap IPK Kota Kinabalu berjaya meloloskan diri dari lokap dengan menyerang anggota polis yang bertugas. 

Tiga daripada mereka yang berusia antara 20 dan 35 tahun bagaimanapun berjaya diberkas semula kira-kira sejam kemudian di sekitar bandar raya ini. 

Mengulas lanjut, Hamza berkata, susulan kejadian itu, tiga anggota polis telah ditahan selama tiga hari untuk membantu siasatan. 

Polis akan melakukan siasatan dalaman dan jika insiden disebabkan kecuaian, anggota polis yang terbabit akan dikenakan tindakan, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment