My Add

Monday 21 May 2012

PPP kemuka calon untuk 6 kerusi Parlimen dan 12 DUN

SUNGAI PETANI: Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) mengemukakan senarai calon untuk bertanding di enam kawasan Parlimen dan 12 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang. 

Presidennya Datuk M. Kayveas berkata, antara kawasan yang mereka cadang untuk bertanding termasuk satu kerusi DUN di Kedah.

Ia turut berhasrat untuk kekal bertanding di kerusi kawasan Parlimen Taiping.
"Saya pun tidak akan menolak jika turut dicalonkan semula di mana-mana kerusi Parlimen yang direstui oleh pucuk pimpinan, kerana saya sentiasa akan terus menyumbangkan khidmat saya kepada BN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen PPP Negeri Kedah kali keempat di Dewan Besar Kompleks Penyayang di sini semalam. 

Hampir 1,000 wakil daripada 14 bahagian PPP seluruh negeri Kedah hadir pada majlis yang turut dihadiri pemimpin PPP negeri dan kebangsaan. 

Hadir sama ialah Naib Presiden Kanan PPP, Datuk Maglin Dennis D’cruz yang juga Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Setiausaha BN Negeri Kedah, Datuk Ariffin Man. 

Kayveas berkata, partinya kini merekod lebih 27,000 pengundi dan penyokong BN bagi PRU-13 di Kedah.

"Angka terbabit mewakili 198 cawangan parti yang setiap cawangan mempunyai 51 ahli jawatankuasa dan setiap jawatankuasa dihendaki mendapatkan 10 pengundi setia BN. 

"Kita juga berharap para pengundi yang berdiri di atas pagar akan mengubah sikap mereka untuk mengundi BN pada PRU-13 kelak, kerana kini mereka sedar bahawa pemerintahan Pakatan Rakyat di Kedah tidak bergerak hatta mewujudkan sebarang pembangunan," katanya. 

Berhubung dengan cadangan untuk bertanding di Kedah, Kayveas berkata, kawasannya masih terlalu awal untuk didedahkan kerana mungkin membuat pihak lain kurang berpuas hati. 

"Tunggulah waktu yang sesuai kita maklumkan kepada umum setelah disetujui pucuk pimpinan," katanya. 

Terdahulu Kayveas menyerahkan kad keahlian kepada 300 anggota baru parti itu dari beberapa bahagian di seluruh Kedah. 

Beliau turut menyampaikan lebih 500 hamper berisi barangan keperluan dapur kepada masyarakat tempatan yang miskin dan kurang mampu. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment