My Add

Monday 7 May 2012

Siasatan kenal pasti dalang cuba guling kerajaan bermula

KULIM, AHAD, 6 Mei, 2012: Siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti dalang yang didakwa cuba menggulingkan kerajaan melalui perhimpunan BERSIH 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu sudah bermula, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. 

Beliau berharap orang ramai terus menyalur maklumat kepada polis bagi mempercepatkan siasatan supaya keselamatan negara tidak tergugat dan terus terancam.

"Beberapa tangkapan baru telah dibuat selepas gambar-gambar perusuh BERSIH 3.0 disiarkan dan kita juga menerima panggilan orang ramai untuk memberi maklumat mengenai kejadian itu.

"Ini petanda baik rakyat Malaysia mencintai keamanan dan tidak mahu keselamatan negara diganggu-gugat," katanya kepada pemberita pada program turun padang Polis Diraja Malaysia (PDRM) daerah Kulim di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat lalu bahawa perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan yang disokong pembangkang di ibu negara 28 April lalu, adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi sistem demokrasi. 

Mengenai tuduhan pembangkang dalam blog-blog bahawa polis turut terbabit sebagai peserta perhimpunan itu untuk menyemarakkan lagi rusuhan itu, Ismail meminta supaya tuduhan-tuduhan tidak berasas dan tanpa fakta dihentikan. 

"Jangan buat tuduhan karut....kena la bertanggungjawab. Bagaimanapun setiap tuduhan akan disiasat," katanya.

Mengenai program kepolisan,' beliau berkata, program itu termasuk turun padang akan diteruskan ke seluruh negara kerana ia didapati berkesan mendapatkan pandangan rakyat dalam pelbagai isu termasuk khidmat PDRM. 

"PDRM tidak boleh dipandang dengan satu imej (iaitu) hanya menanti aduan baru hendak ambil tindakan atau duduk dalam pejabat. Imej ini hanya memisahkan agensi itu dengan rakyat. 

"Perjumpaan tidak formal seperti ini lebih berkesan di samping membuahkan hasil lebih baik," katanya. 

Dalam program hari ini, Ismail disertai Pengarah Keselamtan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Salleh Mat Rashid, Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim dan pegawai-pegawai kanan polis mengayuh basikal dari Hotel Seri Malaysia ke pasar awam pekan Kulim untuk beramah mesra dan menyampaikan buah tangan kepada orang ramai yang ditemui. 

Orang ramai turut dihiburkan oleh pasukan pancaragam Polis Kontinjen Kedah dan persembahan mini-tatu oleh sembilan anggota polis trafik yang menunggang motosikal berkuasa 1,300cc. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment