My Add

Thursday 3 May 2012

Tipu: 8 agensi pengendalian pelancongan dibatal lesen

KUALA LUMPUR, KHAMIS, O3 Mei, 2012: Sebanyak lapan agensi pengendalian pelancongan dan pengembaraan dibatalkan lesen perniagaan mengikut Akta Industri Pelancongan 1992 kerana terbabit dalam aktiviti penipuan terhadap pelanggan sepanjang 2010 sehingga 31 Mac lalu.

Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr James Dawos Mamit, berkata bagi tempoh sama, 12 kes penipuan direkodkan kementerian iaitu membabitkan lima kes berkaitan penipuan umrah dan tiga pakej pelancongan.

"Daripada jumlah tersebut, tiga agensi pengendalian pelancongan diberi amaran manakala satu kes masih dalam siasatan," katanya menjawab soalan Senator Boon Som Inong di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Dawos berkata, sehingga Mac lalu, jumlah keseluruhan agensi pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan yang berdaftar serta berlesen dengan kementerian adalah sebanyak 3,069 buah.

Katanya, kementerian juga sedang mengambil tindakan untuk meminda Akta Industri Pelancongan 1992 bagi mewujudkan peraturan baru bertujuan melindungi hak pengguna serta kepentingan pelancong.

"Kumpulan Wang Pampasan Industri Pelancongan (KWPIP) juga ditubuhkan dan mendapat sokongan daripada Persatuan Agensi pengembaraan dan Pelancongan Malaysia (MATTA)," katanya.

Beliau berkata, kementerian menjangkakan peraturan baru itu dapat dikuatkuasakan selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

"Peraturan baru yang dicadangkan ini akan mewajibkan semua agensi pengendalian pelancongan serta agensi pengembaraan yang berlesen menyumbang kepada KWPIP yang ditubuhkan ini," katanya.

Berikutan itu, orang ramai perlu peka tentang hak mereka sebagai pengguna serta perlu berani tampil untuk membuat aduan di saluran yang betul sekiranya mereka ditipu oleh agensi terbabit. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment