My Add

Friday 11 May 2012

Wanita maut ditetak dua warga asing

KUALA LANGAT, KHAMIS, 10 Mei, 2012: Seorang wanita maut selepas diserang dan ditetak di kepala dengan parang oleh dua lelaki dipercayai warga asing dalam kejadian awal pagi tadi, di Taman Yayasan, Jenjarom di sini. 

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan, berkata kejadian berlaku jam 1 pagi ketika wanita warga tempatan berusia 36 tahun itu mahu mengunci pintu rumah yang didiami bersama ibu angkatnya.

"Wanita itu disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, ketika menerima rawatan," katanya di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dua suspek terbabit yang masing-masing bersenjatakan sebilah parang menyerbu ke dalam rumah mangsa sebaik mangsa mahu mengunci pintu. 

"Mangsa dipercayai dibunuh akibat dendam kerana tiada harta benda yang dilaporkan hilang," katanya. 

Beliau berkata, usaha mengesan kedua-dua suspek terbabit sedang dilakukan dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment