My Add

Monday 28 May 2012

Warga emas dapat keistimewaan pemeriksaan kesihatan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 Mei, 2012: Semua 48 buah pusat jagaan warga emas di bawah naungan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menerima lawatan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Khidmat lawatan yang disediakan Kementerian Kesihatan itu akan melakukan saringan kesihatan dan rawatan susulan untuk warga emas di pusat jagaan berkenaan.

Perkara itu, yang berkuat kuasa serta-merta, diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada program Karisma Warga Emas di Rumah Sejahtera, Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Majlis itu dihadiri kira-kira 1,500 warga emas dari pusat jagaan di Selangor dan Kuala Lumpur untuk makan tengah hari dan bertemu perdana menteri.

Najib berkata, perkhidmatan untuk warga emas di klinik kesihatan di seluruh negara pada masa kini mendapati kedatangan mereka yang memerlukan rawatan termasuk kedatangan ulangan adalah sebanyak 1.4 juta.

"Kementerian Kesihatan bukan sahaja akan merawat warga emas di klinik kesihatan, tetapi juga akan melawat kesemua 48 pusat jagaan warga emas untuk membuat tindakan susulan kepada warga emas yang memerlukan rawatan lanjut," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Najib yang juga pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata dengan adanya lawatan pemeriksaan itu, ia akan memberi peluang lebih baik kepada warga emas untuk menikmati kesihatan yang lebih sempurna. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment