My Add

Monday 28 May 2012

Lima mangsa pemerdagangan orang dibenar tinggal, bekerja

PUTRAJAYA, ISNIN, 28 Mei, 2012: Lima mangsa pemerdagangan orang warga India dibenarkan untuk tinggal dan bekerja di negara ini selepas mendapat persetujuan daripada Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur.

Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahim Mohd. Radzi berkata, mereka adalah kumpulan kedua selepas kumpulan pertama seramai 32 warga Bangladesh yang telah bekerja sejak 7 Mac lepas.

"Kesemua mereka merupakan bekas mangsa pemerdagangan orang bagi kategori kes-kes eksploitasi buruh di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, inisiatif itu berjaya dilaksanakan menerusi kerjasama serta penglibatan pelbagai kementerian serta agensi, badan bukan kerajaan seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), parti MIC, Coalition to Abolish Modern Day Slavery (CAMSA) dan perwakilan diplomatik asing.

Kerjasama itu juga, katanya, merupakan elemen kritikal dalam usaha negara untuk meningkatkan tahap perkhidmatan daripada aspek perlindungan berlandaskan ‘pendekatan bertumpu pada mangsa’ kepada mangsa-mangsa pemerdagangan orang.

"Elemen itu juga merupakan salah satu komponen yang dititikberatkan di peringkat antarabangsa selain daripada matlamat utama untuk membawa pesalah jenayah tersebut ke muka pengadilan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment