My Add

Tuesday 8 May 2012

Warga emas rentung terperangkap dalam kebakaran

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
MUAR, SELASA, 08 Mei, 2012: Seorang warga emas rentung setelah terperangkap dalam kebakaran rumahnya di Taman Mahkota, Parit Raja di sini hari ini.

Menurut laporan Utusan Mlaysia, dalam kejadian kira-kira pukul 11.48 pagi, Kalthum Sukaimin, 96, yang ketika itu tinggal seorang diri tidak dapat bergerak kerana sakit tua.

Kebakaran itu disedari seorang penduduk, Bahar Daud, 40, yang kebetulan sedang menghantar cicit mangsa pulang dari sekolah dan terkejut mendapati api sedang marak di belakang rumah.

Warga emas maut diserang anjing jantan

Di PETALING JAYA: Bernama melaporkan seorang warga emas hari ini maut akibat diserang anjing jantan jenis pitbull ketika berjoging di sekitar kawasan taman perumahannya.

Ketika kejadian 9.50 pagi itu, Yip Sun Wah, 74, berjoging bersendirian di Taman Seksyen 19/5b, Subang Jaya, dekat sini, sebelum diserang anjing berkenaan yang muncul dari tempat pembuangan sampah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli, berkata siasatan awal polis mendapati mangsa mati akibat digigit pada bahagian leher dan telinga kanan selepas bergelut kira-kira dua minit.

"Semasa kejadian berlaku dipercayai pemilik anjing berkenaan tidak sedar dan saya difahamkan pemilik anjing mempunyai lesen yang sah," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. 

Yahaya berkata, anjing itu kini ditangkap dan dibawa ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk pemeriksaan dan pemantauan lanjut. 

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 304(A) kanun keseksaan kerana kecuaian hingga menyebabkan kematian. 

Sementara itu, anak mangsa Yip Hon Mun, 51, berkata sebelum ini ayahnya sering joging di kawasan perumahan itu dari 9 hingga 11 pagi secara bersendirian. 
"Saya berasa cukup kesal dengan kejadian ini dan saya minta pemilik anjing berkenaan meminta maaf kepada keluarga kami atas kejadian ini kerana ia membabitkan kematian," katanya. 

Menurut saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Eddy Wang, ketika kejadian beliau sedang menunggu rakannya di dalam kereta sebelum melihat anjing itu menyerang seorang lelaki yang sedang berjogging. 

"Masa saya nampak kejadian itu saya terus keluar dan ambil payung di dalam kereta...saya pukul anjing itu tidak henti-henti tetapi anjing tersebut tetap tidak melepaskan mangsa," katanya.

Pemandu, kelindan selamat selepas dua jam tersepit

Di SETIU: Seorang pemandu lori treler dan kelindannya yang membawa muatan sarat buah kelapa dan baja terpaksa menahan azab tersepit di bawah kenderaan mereka kira-kira dua jam sebelum diselamatkan dalam nahas, pagi tadi. 

Kemalangan berlaku di Kilometer 76 Jalan Kuala Terengganu-Jerteh dekat Kampung Air Sejuk, di sini ketika pemandu berkenaan Nurame Abdul Rahman, 35, dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor menuju ke Rantau Panjang, Kelantan untuk menghantar bekalan kelapa dan baja.

Lori treler itu dipercayai terbabas selepas satu daripada tayar depan sebelah kanannya pecah menyebabkan ia terbabas dan terbalik.

Nurame bersama kelindan yang belum dapat disahkan identitinya bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Daerah Setiu. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Penolong Penguasa Mohd Khairul Anuar Ahmad yang ditemui di tempat kemalangan, berkata pemandu lori itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya selepas satu daripada tayar pecah. 

"Lori terbabit melanggar sebatang tiang eletrik berhampiran sebuah kilang batu-bata sebelum terbalik," katanya di sini, hari ini. 

Tiang eletrik yang tumbang itu pula menimpa sebuah kereta Perodua Kancil yang kebetulan diletakkan pemiliknya di depan kilang berkenaan. 
Tinjauan di tempat kemalangan mendapati nahas mengakibatkan kesesakan lalu lintas lebih dua jam sebelum lori berkenaan dialihkan.

Anggota polis maut nahas

Di KUANTAN: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum merempuh batu pembahagi jalan di Jalan Tanjung Lumpur dekat Bandar Putra di sini, awal pagi tadi. 

Lans Koperal Mohamad Idzmir Amran, 32, dari Kempadang yang bertugas di Balai Polis Gambang cedera parah di kepala dalam kejadian 6.05 pagi.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, memberitahu mangsa menunggang sendirian dalam perjalanan menuju bandar Kuantan dari rumahnya.
"Mangsa dipercayai hilang kawalan kenderaannya lalu tebabas melanggar batu pembahagi jalan dan tercampak ke laluan bertentangan. 

"Mangsa cedera teruk di kepala dan disahkan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment