My Add

Sunday 6 May 2012

Waris fail semula injuksi halang roboh Madrasah Salihiah

ALOR SETAR, AHAD, 06 Mei, 2012: Waris-waris pemilik asal tapak Madrasah Salihiah, Kanchut di sini hari ini memfailkan semula injunksi di Mahkamah Tinggi di sini sebagai usaha menghalang madrasah itu dirobohkan oleh kerajaan negeri Kedah bagi tujuan pembinaan pusat membeli-belah. 

Injunksi itu difailkan peguam Jesvinder Jit Singh kira-kira jam 10.30 pagi ini bagi pihak plaintif iaitu Jamludin Murad, 58, Fadzil Ishak, 61, Fidel Firaidi Mustafa, 49, dan Fidel Firaidid Mustafa, 49.

Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Pentadbir Tanah Daerah Kota Setar dan kerajaan negeri Kedah, masing-masing dinamakan sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga dalam writ saman itu.

Dalam pernyataan tuntutan itu, plaintif mendakwa pindah milik tapak madrasah berkenaan (kepada pihak pemaju) dibuat secara tidak sah di bawah Kanun Tanah Negara dan menuntut balik supaya tanah itu dikembalikan kepada MAIK. 

Madrasah Salihiah didirikan pada 1909 di atas tanah kepunyaan Hajah Aisyah dan diperturunkan kepada waris-waris dan akhirnya dipindah milik kepada MAIK sebagai tanah wakaf khas. 

Pada 5 Jan lalu, Jawatankuasa Madrasah Salihiah memfailkan injunksi di mahkamah sama bagi menghalang madrasah berkenaan daripada dirobohkan, namun menarik balik permohonan itu pada 18 April bagi membolehkan beberapa maklumat ditambah baik dan dikemas kini. 

Dalam permohonan terdahulu, Jamludin, yang ketika itu dinamakan sebagai Timbalan Pengerusi jawatankuasa madrasah, mendakwa Jabatan Mufti Kedah membuat keputusan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kedah pada 21 Jun 2010 bahawa madrasah itu hendaklah dikekalkan di tempat asalnya tanpa diruntuhkan struktur asal bangunan bagi kepentingan anak-anak kariah. 

Bagaimanapun Jawatankuasa Fatwa dalam mesyuaratnya pada 4 Julai 2011 sudah meminda atau menukar atau membatalkan keputusan fatwa terbabit. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment