My Add

Friday 8 June 2012

10,000 dijangka sertai Ikrar Taat Setia kepada Sultan Johor

JOHOR BAHRU, JUMAAT, 08 Jun, 2012: Kira-kira 10,000 rakyat Johor dijangka menyertai Perhimpunan Ikrar Taat Setia Kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim, di perkarangan Istana Pasir Pelangi, Ahad ini. 

Ketua Penerangan Majlis Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Johor Abdullah Md Yusoff berkata, setakat ini 400 NGO yang membabitkan kaum Melayu, Cina, India serta Orang Asli sudah menyatakan persetujuan untuk turut serta pada perhimpunan itu.

"Perhimpunan diadakan bagi menolak sekeras-kerasnya kenyataan biadap bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang menghina Sultan Johor.

"Matlamat perhimpunan ini adalah untuk menyatakan taat setia rakyat negeri kepada Sultan Johor, memohon tindakan undang-undang dikenakan ke atas Mohammad Nizar dan mengingatkan semua pihak supaya tidak mudah menghina Sultan Johor dan Raja-Raja Melayu," katanya kepada pemberita pada majlis sempena penganjuran perhimpunan itu, di sini, hari ini. 

Mohammad Nizar yang juga Pesuruhjaya PAS Perak sebelum ini dilapor mengeluarkan kenyataan menerusi laman Twitter mempersoalkan bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 yang dimenangi Sultan Johor dengan kos RM520,000. 

Abdullah berkata, kesemua yang akan menyertai perhimpunan itu perlu berkumpul di Dewan Restoran Sangkar Kristal, di sini, pada pukul 12 tengah hari sebelum berarak kira-kira 200 meter ke Istana Pasir Pelangi pada jam 2 petang. 

Sementara itu, Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Baharu, Lim Ik Kim yang turut hadir pada majlis itu berkata, masyarakat Cina di negeri ini berasa amat dukacita dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri Besar Perak itu. 

"Mohammad Nizar jangan menggunakan pentas politik untuk menghina Sultan Johor atau mana-mana kerabat diraja. Pada perhimpunan ini, saya menjangkakan seramai 1,000 masyarakat Cina akan hadir," katanya. 

Wakil masyarakat Orang Asli Johor, Tok Batin Laili Lee dari Kampung Pasir Salam Ulu Tiram berkata, masyarakat Orang Asli sentiasa memberikan taat setia kepada Sultan Ibrahim kerana baginda diibaratkan sebagai 'payung' kepada seluruh rakyat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment