My Add

Friday 22 June 2012

251 karya filem dipertandingkan pada FFVPM9

SHAH ALAM, JUMAAT, 22 Jun, 2012: Sejumlah 251 karya daripada 44 institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh negara dipertandingkan pada Festival Filem & Video Pelajar Malaysia Kesembilan (FFVPM9) yang bermula di sini semalam.

Sebanyak tujuh kategori akan dipertandingkan pada festival tiga hari itu iaitu Filem/Video Pendek, Filem/Video Dokumentari, Filem/Video Eksperimental, Filem/Video Animasi, Filem Video Iklan Televisyen, Filem/Video Khidmat Awam dan Klip Video/Muzik Video.

FFVPM9 dianjurkan bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan berlangsung di kampus induk UiTM di sini.

Pengerusi Finas Datuk Md Afendi Hamdan ketika merasmikan festival itu berkata industri filem negara amat memerlukan penglibatan karyawan muda yang agresif, dinamik dan positif bagi memacu kejayaan filem keluaran tempatan ke tahap yang lebih cemerlang.

Beliau berkata penganjuran festival itu dapat menyokong inisiatif kerajaan dalam memajukan produk kreatif termasuk filem dan bahan multimedia yang amat berpotensi yang mana akan dapat menyumbangkan RM1 bilion kepada pendapatan negara menjelang 2020.

Pada majlis itu, penyanyi, pencipta lagu dan pelakon filem Datuk M. Nasir menerima Anugerah Khas FFVPM9 yang disampaikan oleh Naib Canselor UiTM Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment