My Add

Saturday 2 June 2012

Agong ke Istiadat Menghadap, Pengurniaan Darjah Kebesaran

*YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, diiringi Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, memeriksa perbarisan kawalan kehormatan pada majlis Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, pagi ini. - Foto EPA

KUALA LUMPUR, SABTU, 02 Jun, 2012: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, hari ini berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong. 

Istiadat itu buat julung kalinya diadakan di Istana Negara baru di Jalan Duta di sini. Pada tahun ini, Seri Paduka berkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada 1,523 penerima.

Pada April lalu, upacara pertabalan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 berlangsung dengan penuh istiadat di Istana Negara berkenaan. 

Pertabalan bersejarah itu menyaksikan Tuanku Abdul Halim dilantik semula sebagai Ketua Negara sejak sistem giliran memegang jawatan dalam kalangan sembilan Sultan dan Raja Melayu dipraktikkan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957. 

Tuanku Abdul Halim pertama kali ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, Seri Paduka ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84 tahun.

Terdahulu, Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, berkenan berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Sungai Besi.

Istiadat sembah ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Seri Paduka selaku Pemerintah Tertinggi ATM diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Istiadat perarakan itu yang membabitkan 586 anggota lain-lain pangkat dan 22 pegawai yang terdiri daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM, diketuai Pegawai Memerintah Batalion ke 19 Rejimen Askar Diraja (RAMD), Lt Kol Mohd Suria Mohd Saad. 

Ketibaan Seri Paduka berdua pagi ini disambut dengan perbarisan mempersembahkan "Hormat Diraja" dan diikuti dengan lagu Negaraku serta tembakan meriam 21 das. 

Seri Paduka turut menerima tabik hormat Diraja oleh pasukan kawalan kehormatan yang dianggotai pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan tersebut. 

Pesawat ATM terdiri daripada lima pesawat helikopter milik ATM iaitu Nuri, Augusta, Fennec dan Alloute membuat lintas hormat yang masing-masing membawa bendera Malaysia, ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). 

Yang di-Pertuan Agong kemudian diiringi Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin memeriksa perbarisan kawalan kehormatan. 

Istiadat perarakan panji-panji yang penuh dengan istiadat ketenteraan, dalam tempo kawad perlahan dan cepat dan diikuti dengan kawalan mara mengadap di mana anggota perbarisan mara mengadap dengan melaungkan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali menandakan penghujung istiadat tersebut. 

Upacara istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Pengarah Kor Agama ATM, Brig Jen Datuk Mustafa Abd Manap. 

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Yang di-Pertuan Agong menerima tabik hormat diraja daripada pasukan kawalan kehormatan dan lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM. 

Gabungan pancaragam pusat ATM di bawah pimpinan Kapt Mohd Sobri Mohamed Isa menyerikan majlis dengan memainkan lagu-lagu patriotik. 

Istiadat tersebut disiarkan secara langsung oleh TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment