My Add

Wednesday 27 June 2012

Banteras peniaga asing di KL

*MOHD. Ridzuan Abdullah (tiga dari kiri) bersama sebahagian daripada 200 peniaga selepas menyerahkan memorandum mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas membanteras peniaga asing di Lembah Klang kepada Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.


Oleh SHARAIMEI 
SHAIK AHMEDULLAH
PUTRAJAYA, SELASA, 26 Jun, 2012: Kerajaan digesa menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat kebanjiran peniaga asing yang kini menguasai ruang-ruang niaga strategik di ibu kota.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, peniaga-peniaga asing itu juga menguasai pelbagai sektor jualan sekali gus menutup peluang peniaga bumiputera.

Beliau mendakwa, pihaknya mengesyaki kehadiran peniaga asing tersebut didalangi individu, persatuan dan pihak berkuasa tempatan.

"Kami minta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tubuh jawatankuasa membela nasib peniaga-peniaga tempatan di Kuala Lumpur yang semakin mengecil akibat peniaga asing.

"Keadaan ini mungkin berpunca daripada pegawai kerajaan sendiri yang terlibat melindungi mereka termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis dan imigresen yang memakai lesen untuk berselindung," dakwanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri bagi mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas membanteras peniaga asing di Lembah Klang, di sini hari ini.

Memorandum itu diterima Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Ghazali Ibrahim.

Menurut Mohd. Ridzuan, kerajaan juga tidak sepatutnya memberi 'muka' kepada semua peniaga asing itu untuk terus menguasai perniagaan di Lembah Klang.

"Di Pasar Borong Selayang penuh dengan warga asing terutamanya Myanmar yang berlagak samseng dengan badan penuh tatu dan sebagainya.

"Kerajaan perlu bekukan terus mereka ini kerana di Myanmar sendiri mereka menghalau dan membakar umat Islam," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan hasil serbuan Jabatan Imigresen terhadap peniaga asing di Lembah Klang dan Putrajaya tetapi kemudiannya kawasan itu dipenuhi peniaga asing semula.

"Kita sudah membuat kajian dalam sebulan sebanyak 45 kali serbuan dilakukan oleh Jabatan Imigresen tetapi yang peliknya mereka ini masih wujud sebab itu kita minta jawatankuasa ini ditubuh. Adakah Jabatan Imigresen makan angin?

"Pengarah Imigresen perlu menjelaskan status mereka ini, berapa peniaga sudah ditangkap dan kita mahu penyelesaiannya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment