TEMERLOH, AHAD, 03 Jun, 2012: Kira-kira 2,000 peneroka di FELDA Jenderak Utara dan Selatan dalam kawasan Parlimen Kuala Krau akan mendapat bekalan air paip yang lebih sempurna apabila kerja-kerja menaik taraf bekalan dilaksanakan tidak lama lagi.
Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan selepas kerajaan meluluskan peruntukan RM19.9 juta baru-baru ini.
"Semua paip besi lama yang menjadi punca bekalan air sering terputus dan menyulitkan peneroka akan diganti baru dengan batang paip fiber yang tahan karat dan tahan lama. Tender bagi projek itu akan dikeluarkan tempoh terdekat ini," katanya pada perjumpaaan bersama peneroka di FELDA Jenderak Utara dan Selatan di sini semalam.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau berkata, kerja-kerja membaiki parit serta longkang di kedua tanah rancangan itu yang membabitkan peruntukan lebih RM500,000 akan turut dilakukan bagi mengatasi masaalah parit dan longkang tersumbat.
Ismail juga pada masa sama meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) melaporkan kepada pengurusan FELDA atau wakil rakyat jika menghadapi sebarang masaalah untuk diambil tindakan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment