My Add

Wednesday 13 June 2012

Chong Wei masih sandaran emas Olimpik: Shabery Cheek.

KUALA LUMPUR, RABU, 13 Jun, 2012: Tiada sebab untuk tidak menaruh harapan kepada keupayaan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dalam misi merangkul emas pertama negara di Olimpik London, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Meskipun atlet itu kini menghadapi masalah kecederaan dan krisis keluarga, Ahmad Shabery yakin Chong Wei mampu mengatasi tekanan itu, apatah lagi beliau masih menduduki takhta sebagai perseorangan nombor satu dunia.

"Inilah yang membezakan atlet yang hebat dengan atlet biasa, iaitu bukan saja dari segi kemahiran dan teknik, tetapi juga keupayaan mengatasi tekanan mental dan gangguan luar.

"Beliau (Chong Wei) akan benar-benar menjadi pemain terbaik jika dapat berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dengan syarikat perabot 3V Holdings SDN BHD untuk hadiah penajaan kemenangan emas Olimpik.

Hadir sama Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong yang telah menandatangani MoU tersebut bagi pihak MSN manakala 3V Holdings diwakili pengurus pemasarannya, Chin Song.

Chong Wei mengalami kecederaan buku lali kanan ketika Kejohanan Piala Thomas di Wuhan, China bulan lepas.

Beliau yang masih menjalani proses rawatan di bawah Institut Sukan Negara (ISN) dikejutkan pula dengan masalah keluarga apabila bapanya dilaporkan cuba membunuh diri Ahad lalu.

Ahmad Shabery berkata kecederaan yang dialami atlet itu dijangka pulih sebelum Olimpik bermula iaitu pada 22 Julai hingga 12 Ogos ini, malah Chong Wei telah pun mula menjalani latihan.

"Berkenaan masalah keluarganya, saya lihat Chong Wei dapat mengendalikan hal itu dengan baik," katanya.

Selain itu, Ahmad Shabery berkata pihaknya akan berhubung dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta persatuan-persatuan sukan lain mengenai peranan yang boleh dimainkan jurulatih membantu atlet yang dilanda masalah.

Beliau berkata jurulatih bukan sahaja bertanggungjawab membentuk kemahiran atlet tetapi perlu juga memberi perhatian pada aspek kaunseling.

"Jurulatih yang baik bukan saja dapat melahirkan atlet hebat, tetapi juga boleh menjadi tempat untuk menenangkan fikiran dengan memberi motivasi dan inspirasi kepada para atlet di bawah jagaan mereka," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment