My Add

Tuesday 26 June 2012

Faekah sedia disiasat SPRM

SHAH ALAM, SELASA, 26 Jun, 2012: Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis blog yang didakwa memfitnahnya berhubung isu penghantaran surat firma guaman mengaitkan dirinya.

Faekah berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan peguamnya berhubung isu berkenaan dan pada masa sama, pihaknya sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Surat yang saya tulis itu bukan surat sokongan dan saya sedia disiasat. Buat masa ini, SPRM tidak memanggil saya untuk sebarang variation,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaannya bekerjasama dengan SPRM untuk disiasat.

Dalam pada itu, Faekah turut menegaskan, beliau bukan Ahli Lembaga Pengarah Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) dan tidak mempunyai kapasiti dalam membuat keputusan bagi pihak syarikat.

Pada 21 Jun lalu, sebuah blog mendakwa Faekah terlibat dalam salah guna kuasa, menerusi kiriman surat di antara beliau dengan sebuah firma guaman yang didakwa milik saudaranya.

Faekah kemudian menafikan dakwaan itu, sebaliknya berkata, mengikut amalan biasa, surat berkenaan akan dihantar kepada beliau dan

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tetapi tugasnya hanya menerima dan menyerahkannya kepada syarikat milik kerajaan (GLC).

Kelmarin, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdul berkata, pihaknya sedang meneliti pengakuan dan peranan dimainkan Faekah dalam surat berkenaan.

Sebelum itu, Abdul Khalid mengesahkan Faekah tidak menyalahgunakan kuasa dan menegaskan isu surat sokongan tidak timbul kerana setiausaha politiknya hanya menerima dan bukannya memberi projek. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment