My Add

Sunday 3 June 2012

Kedah negeri ketiga tertinggi terima bantuan JKM RM114.2j

ALOR SETAR, AHAD, 03 Jun, 2012: Kedah merupakan negeri ketiga tertinggi menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi 14 skim yang disediakan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie.

Beliau berkata, tahun lepas kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion kepada JKM untuk diagihkan kepada 457,000 rakyat miskin dan golongan memerlukan di seluruh negara.

"Kedah merupakan negeri ketiga selepas Sabah dan Johor menerima peruntukan terbanyak iaitu RM114.2 juta untuk dimanfaatkan kepada 37,610 rakyat negeri ini," katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan 1Azam anjuran Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah (PBANK) dengan kerjasama kementerian tersebut di Wisma Negeri di sini hari ini.

Bantuan 1Azam itu disampaikan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang juga Yang Dipertua PBANK kepada 350 penerima dari Baling, Pendang dan Kota Setar.

Bantuan sebanyak RM1.75 juta yang disampaikan hari ini meliputi peralatan berniaga mengikut pakej yang disediakan seperti mesin jahit, peralatan memasak, peralatan gunting rambut dan peralatan membuat kuih. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment