My Add

Wednesday 27 June 2012

Kualiti udara semakin baik: JAS

KUALA LUMPUR, SELASA, 26 Jun, 2012: Kualiti udara di seluruh negara hari ini semakin baik apabila 17 kawasan berada pada tahap baik dan 34 kawasan pada tahap sederhana sehingga 11 pagi tadi dalam tempoh 24 jam lalu. 

Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS), semalam 18 kawasan berada pada tahap baik dan 32 kawasan pada tahap sederhana.

Kawasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak kekal menjadi satu-satunya kawasan pada tahap tidak sihat, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu turun kepada 158 berbanding 192 semalam.

Kemerosotan kualiti udara di kawasan Miri disebabkan kebakaran tanah gambut seluas 12 hektar di Permai Jaya berdekatan ILP Kuala Baram. 

"Kerajaan negeri Sarawak sudah menggerakkan Jawatankuasa Bencana Bahagian Miri melibatkan agensi tempatan yang berkaitan bagi membendung kebakaran daripada merebak dan membantu kerja-kerja pemadaman api serta mengawal kebakaran," menurut kenyataan itu. 

Selain itu, status kualiti udara di Semenanjung menunjukkan penurunan bacaan IPU tetapi cuaca panas dan kering sepanjang bulan ini selain peningkatan titik panas mungkin mengakibatkan ketidakstabilan kualiti udara. 

JAS turut menggerakkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka serta mempertingkat program pencegahan kebakaran tanah gambut bagi mengawal punca yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara di seluruh negara. 

Perintah larangan pembakaran terbuka di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikeluarkan pada 16 Jun lalu serta di kawasan Tudan, Permai Jaya dan Kuala Baram di Miri, Sarawak yang dikeluarkan pada 22 Jun lalu masih berkuat kuasa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment