Oleh Zuhainy Zulkiffli
GEORGETOWN, SABTU, 09 Jun, 2012: Sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia Universiti Sains Malaysia (USM) menemui kaedah unik bahan penjerap minyak dalam proses rawatan air dengan menggunakan bahan berasaskan kulit udang.
Penyelidik USM, Dr Suzylawati Ismail berkata, produk itu yang dipanggil Chi-Sob mampu bertindak melalui tiga fungsi utama iaitu menjerap minyak, mengental dan menggumpal keledak sisa, sekali gus menjadikan proses rawatan air sisa menjadi lebih mudah dan berkesan.
Dr Suzylawati berkata, penjerap itu turut menjadi alternatif dalam penggunaan bahan kimia yang mengancam alam sekitar.
Katanya, sisa kulit udang yang dikumpul, ditukarkan menjadi bahan yang berharga serta bermanfaat melepas melalui beberapa proses rawatan termasuk nyah-protein, nyah-mineral dan nyah-asetil sebelum digunakan bagi memproses dan merawat air sisa.
“Biasanya. kaedah rawatan air sisa menggunakan penggumpal berformulasi logam seperti alum, namun dua bahan ini menimbulkan kesan terhadap kesihatan terutama kepada manusia jika digunakan secara berlebihan atau tidak terkawal.
“Selain itu, aras sisa logam yang tertinggal dalam air yang dirawat, terutama aluminium boleh menyumbang kepada penyakit Alzheimer dan penyakit neurologi seperti pradimensi tua,” katanya pada sidang media di USM, kelmarin.
Penyelidikan yang memenangi pingat emas dalam beberapa pertandingan edisi antarabangsa itu turut disertai dua penyelidik bersama iaitu Prof Dr Abdul Latif Ahmad dan Dr S Sumathi.
Mengambil kira kelemahan produk sedia ada yang tidak mesra alam, Dr Suzylawati berkata, Chi-Sob yang tampil dengan inovasi unik lebih selamat dan mudah dihasilkan.
“Bahan penghasilannya juga mudah didapati, malah Chi-Sob juga menjadi penjerap semula jadi yang bebas daripada campuran logam berat, tidak mengandungi toksik, tiada kesan sampingan, mudah dibuang dan mesra alam,” katanya. - Metro
No comments:
Post a Comment