My Add

Saturday 9 June 2012

Malaysia, Indonesia dominasi minyak sawit dunia

*SEORANG pekerja ladang mengangkat kelapa sawit untuk dikumpulkan sebelum dibawa ke kilang.

MUMBAI, JUMAAT, 08 Jun, 2012: Malaysia dan Indonesia dijangka terus mendominasi bekalan minyak sawit dunia bagi tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun lagi walaupun banyak negara telah meneroka penanaman kelapa sawit.

Pengarah Bersekutu Penyelidikan dan Penasihat Makanan dan Perniagaan Tani Rabobank berkata, kedua-dua negara itu menyumbang 87 peratus daripada pengeluaran minyak sawit dunia dan 90 peratus eksport sekarang.

"Ketika ini, India memperuntukkan kira-kira 800,000 hektar bagi penanaman sawit. Tetapi, berapa lama lagi hasilnya akan dapat dirasai oleh penduduknya?," katanya di Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-India 2012.

Sawit mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk mula menghasilkan buah.

Perladangan kelapa sawit di Brazil dan Afrika juga menghadapi cabaran mereka sendiri, katanya.

Di Afrika, kebanyakan kawasan penduduk padat terletak berhampiran bandar, pembangunan perladangan kelapa sawit akan memerlukan, di setengah wilayah, perpindahan dari kawasan bandar ke kawasan luar bandar," katanya.

Cabaran lain di Afrika ialah melatih buruh, membangunkan beraneka jenis biji benih dan menguruskan penanaman.

"Brazil mempunyai iklim yang sesuai tetapi kos buruh tinggi dan tekanan kelestarian akan terus kekal sebagai cabaran terbesar," katanya.

Minyak sawit menjadi minyak sayuran terbesar dihasilkan di dunia sejak 2006, mengatasi minyak kacang soya.

Pengeluaran minyak sawit menyumbang 50.23 juta tan metrik, atau 28 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak dan lemak sebannyak 179 juta tan metrik pada 2011.

Dari segi perdagangan eksport global kira-kira 68.85 juta tan metrik minyak boleh dimakan, minyak sawit menyumbang 38.88 juta tan metrik, atau 56.64 peratus daripada jumlah eksport minyak dan lemak pada 2011.

Malaysia sendiri menghasilkan 18.91 juta tan metrik, atau 37.65 peratus, daripada jumlah pengeluaran minyak sawit pada 2011 dan mengeksport 17.99 juta tan metrik, atau 46.27 peratus daripada eksport minyak sawit dunia.

Ini bersamaan dengan kira-kira 26.6 peratus daripada perdagangan minyak dan lemak global. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment