My Add

Tuesday 5 June 2012

NGO bergabung jadi pemerhati PRU13

SHAH ALAM, SELASA, 05 Jun, 2012: Enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bakal bergabung menjadi satu pasukan pemerhati dalam negeri pada pilihan Raya Umum (PRU) ke -13, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Katanya, perbincangan bersama NGO terbabit telah dilakukan oleh satu jawatankuasa yang dilantik dipengerusikan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Menurutnya, pemilihan NGO itu menepati etika dan syarat-syarat yang ditetapkan sebagai pemerhati, antaranya mereka tidak berpihak kepada parti politik, tidak mengganggu proses pilihan raya dan menghantar laporan secepat mungkin kepada SPR.

“Penggabungan itu kelak memudahkan mereka sebagai satu pasukan dan menjadi pemerhati di 222 buah kawasan Parlimen seluruh negara.

"Secara asasnya mereka telah bersetuju untuk bergabung, namun perbincangan dalam sedikit masa lagi untuk menentukan kawasan pemerhati, ” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Namun Abdul Aziz enggan mendedahkan nama NGO terbabit kerana perbincangan masih dilakukan.

Abdul Aziz berkata, selain pemerhati dalam negeri, SPR juga telah menjemput negara luar sebagai pemerhati antarabangsa.

“Malaysia sering kali menjadi pemerhati asing di negara luar seperti Indonesia, Thailand, Bosnia dan beberapa buah negara lagi. Justeru, SPR telah menjemput mereka menjadi pemerhati pada PRU kali ini, namun keputusan muktamad masih belum lagi diperoleh,” katanya.

Katanya, pemerhati dari luar negara juga perlu menepati etika dan syarat ditetapkan, dengan tidak berpihak dengan parti politik dan tidak campur tangan dalam proses pilihan raya.

Abdul Aziz ketika ditanya akan inisiatif Suruhanjaya Hak Asasi manusia (Suhakam) menjadi pemerhati pada PRU kali  ini, beliau menjelaskan perlunya perbincangan dilakukan terlebih dahulu. 

No comments:

Post a Comment