My Add

Monday 25 June 2012

Olimpik: MOM tunggu surat jemputan daripada IAAF, FINA

KUALA LUMPUR, ISNIN, 25 Jun, 2012: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih menunggu surat jemputan daripada Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) dan Persekutuan Olahraga Dunia (IAAF) mengenai dua slot jemputan kepada atlet negara ke Sukan Olimpik London, Julai ini. 

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang jawapan daripada kedua-dua badan induk sukan tersebut.

"Kita bagaimanapun berkeyakinan bahawa kita akan mendapat dua slot dalam dua acara tersebut memandangkan dua badan induk sukan tersebut menawarkan tempat kepada kita untuk mencukupkan kuota atlet bertanding di London," katanya di pejabatnya di sini, hari ini.

Sukan renang dan olahraga diberikan dua slot jemputan, masing-masing satu dalam acara lelaki dan wanita oleh kedua-dua badan induk sukan tersebut bagi mencukupkan kuota atlet bertanding di London. 

Sieh berkata, beliau menerima surat pencalonan daripada Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Edwin Chong mengenai senarai pendek lima perenang yang akan mengisi dua slot tersebut. 

Difahamkan tiga nama perenang wanita tersebut ialah Christina Loh (100m kuak dada), Khoo Cai Lin (400m dan 800m gaya bebas) dan Chui Lai Kwan (50m gaya bebas) serta dua calon perenang lelaki ialah Yap See Tuan (200m kuak dada) dan Kevin Yeap (1,500m gaya bebas). 

FINA dijangka mengeluarkan senarai akhir perenang yang melayakkan diri ke London minggu ini. 

Selain ASUM, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dikatakan telah menyenaraikan beberapa nama untuk mengisi dua slot jemputan tersebut termasuk atlet 400m lari berpagar, Noraseela Khalid, atlet lompat bergalah wanita, Roslinda Samsu serta atlet lompat tinggi lelaki, Lee Hup Wei. 

Mengulas status atlet angkat berat negara Azizah Fadzil yang masih samar ke Sukan Olimpik, Sieh berkata beliau akan mengutus surat kepada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) hari ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut. 

"Kita ada menerima surat bertarikh 10 Jun daripada IWF mengenai penarikan balik kuota Azizah ke Olimpik namun mereka tidak menyatakan dengan jelas mengenai punca sebenar," katanya. 

Azizah yang juga atlet pelapis negara sebelum ini ditawarkan tempat ke Olimpik London oleh IWF setelah berada di kedudukan enam teratas dalam kategori 53kg pada Kejohanan Kelayakan Zon Asia di Pyeongtaek, Korea Selatan pada April lalu. 

Namun, perubahan ranking menyaksikan atlet Vietnam merampas kedudukan tersebut manakala atlet Malaysia berada di tempat ketujuh. 

Hanya negara yang berada di ranking enam terbaik bagi Zon Asia layak mendapat slot ke London. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment