My Add

Monday 4 June 2012

Peneroka tidak wajar lepas peluang beli saham FGV

KUALA LUMPUR, AHAD, 03 Jun, 2012: Warga peneroka perlu merebut peluang membeli saham Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) kerana ia merupakan satu pelaburan yang baik demi masa depan mereka.

Presiden Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail berkata, ia memandangkan tawaran memiliki 800 unit saham FGV itu bakal memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada peneroka.

Katanya, ia juga merupakan satu lagi inisiatif kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu masyarakat peneroka menikmati kehidupan yang lebih baik.

"Selain pemberian durian runtuh berjumlah RM15,000 seperti yang diumumkan baru-baru ini, tawaran pembelian unit saham itu juga mampu membantu meningkatkan taraf hidup warga Felda secara jangka masa panjang iaitu sehingga ke generasi seterusnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tawaran pembelian saham 800 unit kepada warga peneroka Felda ekoran penyenaraian FGV ke Bursa Malaysia pada 28 Jun ini seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abd. Manap berkata, tawaran pembelian saham dan durian runtuh itu tidak akan menghentikan beberapa bantuan lain yang diterima oleh warga Felda selama ini.

Tambahnya, hasutan beberapa pihak kononnya warga Felda bakal kehilangan bantuan yang diterima sebelum ini ekoran pengumuman insentif terbaru itu adalah tidak berasas.

"Dakwaan itu tidak benar dan kerajaan akan meneruskan pelbagai bantuan yang diberikan kepada warga Felda. antaranya kemudahan pinjaman pembelian rumah," jelasnya.

Menurutnya lagi, golongan muda Felda juga tidak seharusnya melepaskan peluang untuk memiliki unit saham yang turut diperuntukkan khusus untuk mereka sebagai jaminan masa depan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment