My Add

Friday 8 June 2012

Petronas jangka harga minyak turun

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 08 Jun, 2012: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menjangka harga minyak mencatatkan penurunan berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu, kata Ketua Pegawai Operasi dan Naib Presiden Eksekutifnya (perniagaan hiliran), Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin. 

"Kami tidak begitu yakin bagi suku-suku akan datang disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan China serta India juga mula menunjukkan pertumbuhan lemah," katanya kepada pemberita di pelancaran penyelesaian teknologi minyak dan gas baharunya di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu diadakan di hari terakhir Persidangan Gas Sedunia ke-25.
Sementara itu, Wan Zulkiflee berkata Petronas berupaya menampung bekalan minyak bagi loji penapisnya susulan sekatan ke atas Iran bermula lewat bulan ini. 

"Kami mempunyai sumber kami. Selagi kami boleh mendapatkan jenis minyak yang betul dan berkualiti bagi loji penapis kami, kami masih boleh bertahan," katanya. 

Beliau berkata, margin penapis akan berada di bawah tekanan tetapi Petronas akan memastikan pengurusan kos operasi yang lebih baik. 

"Margin penapisan akan berdepan dengan banyak cabaran, tetapi selagi kami mencatatkan prestasi lebih baik berbanding pesaing kami, itulah yang kami sasarkan," katanya. 

Petronas memperkenalkan lima penyelesaian teknologi dan teknikal baharu berkaitan industri yang akan mengoptimumkan nilai pengeluaran hidrokarbon dan meningkatkan kecekapan operasi, produktiviti dan keselamatan dalam persekitaran operasi minyak dan gas. 

Lima penyelesaian itu adalah dalam bahagian penghapusan pencemar, sistem pembaikan saluran paip, pengesanan gas merbahaya dan kebakaran, sistem penyeliaan meter tepat masa dalam talian dan sistem pengasingan cecair dan gas bersepadu. 

Penyelesaian terbabit, Branded HycaPure Hg, Pipeassure, FnGmap, Smartcen dan Sep -- iSys, dibangunkan oleh Petronas dengan rakan kongsi teknologi strategiknya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment