My Add

Sunday 10 June 2012

PR perlu kota janji pendidikan percuma: Khaled

 Khaled Nordin.
AZIZAN INCHE HARUN
PASIR GUDANG, AHAD, 10 Jun, 2012: Pakatan Rakyat (PR) sekadar menabur janji untuk memberikan pendidikan percuma apabila berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, walhal perkara itu mustahil dilaksanakan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, PR bijak bermain dengan sandiwara politik, sedangkan hakikat sebenarnya begitu memerlukan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurutnya, sekiranya PR ingin merealisasikan janji berkenaan, ia sudah boleh dilaksanakan di institusi pengajian tinggi (IPT) yang ada di negeri yang ditadbir kerajaan PR dan tidak perlu tunggu sehingga mengambil alih pentadbiran negara.

“Pembekuan sementara PTPTN terhadap pelajar Universiti Selangor (Unisel) sekadar untuk menilai sama ada betul atau tidak PR nak melaksanakan pendidikan percuma.

“Kita nak mereka kotakan janji memberikan pendidikan percuma di IPT yang ditadbir mereka, tetapi ternyata apa yang dilaungkan itu sekadar politik sebaliknya mereka mahukan PTPTN,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kursus Motivasi Peserta Program Azam Tani Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Parlimen Pasir Gudang, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim Abdullah; Ketua Pengarah LPNM, Sahdan Salim; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Datuk M Munusamy dan Adun Johor Jaya, Tan Cher Puk.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan PR di Selangor sekurang-kurang boleh memberikan subsidi pendidikan kepada penuntut di UNISEL sekiranya tidak mahu memberikan pendidikan percuma.

Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah memberikan subsidi pendidikan yang tinggi terhadap yuran pengajian pelajar di IPT awam.

“Jika kita buat perbandingan antara Universiti Malaya (UM) dan Unisel, penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di UM hanya perlu membayar RM8,176 untuk pengajian sepanjang empat tahun kerana diberikan subsidi, berbanding RM32,230 kerana tidak diberikan subsidi di Unisel.

“Kita harap rakyat faham fungsi dan kepentingan PTPTN agar tidak mudah termakan dengan janji politik PR kerana hakikatnya pendidikan percuma memang mustahil dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menyampaikan bantuan kepada lebih 200 penerima bantuan Azam Tani, baikpulih rumah, lesen bot dan ternakan kupang yang merangkumi keseluruhan peruntukan berjumlah RM1.3 juta.

Katanya, seramai 30 peserta Program Azam Tani menerima bantuan keseluruhan sebanyak RM270,000, manakala 77 peserta yang melibatkan peruntukan sebanyak RM770,000 menerima bantuan baik pulih rumah di perkampungan nelayan Kuala Masai.

“Seramai 33 nelayan Orang Asli Kuala Masai turut menerima bantuan lesen bot dan 67 lagi diberikan bantuan ternakan kupang dengan peruntukan sebanyak RM268,000,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment