My Add

Monday 11 June 2012

Program bersama atasi gejala sosial pelajar

KUALA LUMPUR, ISNIN, 11 Jun, 2012: Kementerian Pelajaran mengeluarkan garis panduan kepada sekolah untuk mengadakan program bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memberi nilai tambah kepada langkah membentuk keperibadian pelajar.

Timbalan menteri berkenaan, Datuk Dr Wee Ka Siong memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa usaha itu diperluas bagi memastikan guru tidak dibebankan sehingga ke luar waktu pengajaran dan pembelajaran.

"Kita juga libatkan guru, tapi tidak sampai membebankan mereka sehingga terpaksa balik ke sekolah setiap Sabtu. Sebab itu kita ada garis panduan mengadakan program dengan PIBG dan NGO.

Ini mesti dipatuhi," katanya menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) yang mahu tahu sejauh mana guru diberi keutamaan dalam membabitkan diri menangani gejala negatif yang di kalangan pelajar.

Dr Wee berkata, kementerian akan menimbang kewajaran sesuatu program yang ingin diadakan supaya tidak membebankan guru.

"Bagaimanapun, dalam menangani gejala sosial, kita jangan lihat sudut sekolah saja tapi hendaklah dilihat dari sudut masyarakat juga," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) mengenai cadangan mengadakan peperiksaan khas untuk membolehkan guru bukan lepasan ijazah naik ke gred DG41, Dr Wee berkata, kementerian banyak memberi peluang kepada guru berkenaan melanjutkan pelajaran termasuk tawaran melanjutkan pelajaran separuh masa ke peringkat ijazah di institusi pendidikan guru. 

"Bagi yang tidak mampu, skim gaji yang ditambah baik baru-baru ini juga memberi peluang mereka menikmati gaji yang lebih tinggi daripada DG41 berdasarkan senioriti," katanya.

Dr Wee berkata, bagi guru yang sanggup melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam, peluang mereka meningkatkan kerjaya adalah lebih besar termasuk dinaikkan sehingga gred DG54. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment