KUALA LUMPUR, JUMAAT, 22 Jun, 2012: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) tidak terikat kepada desakan mana-mana parti politik atau pemimpin termasuk pembangkang untuk menetapkan tarikh pilihan raya.
Beliau yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno berkata mengadakan pilihan raya semasa musim haji juga bukan sesuatu yang baru kerana sejarah menunjukkan ia pernah dilakukan sebelum ini tetapi menegaskan ibadah perlu diutamakan berbanding sebarang urusan lain termasuk pilihan raya.
"Dalam sejarah kita, kita pernah buat pilihan raya masa musim haji. Pilihan raya tahun 1986 kalau tak silap saya. Ada ahli jawatankuasa bahagian saya yang kebetulan hendak dicalon menjadi calon pilihan raya tapi saya tak dapat berhubung dengan dia sebab dia berada di Makkah.
"Bila dia balik, dia terima hakikat bahawa dia tak dapat jadi wakil rakyat sebab kalau dia bertanding, dia menang pada masa itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mendakwa Perdana Menteri akan menanggung dosa sekiranya pilihan raya diadakan pada musim haji.
Najib berkata, kerajaan tidak menyekat sesiapa pun yang ingin menunaikan haji, dan mereka wajib meneruskan untuk menunaikan ibadah itu jika ketetapan telah dibuat (untuk mengerjakan haji).
Diminta mengulas senario debat antara pemimpin parti politik yang semakin kerap diadakan kebelakangan ini, Najib berkata, debat bukanlah budaya yang menyeluruh dalam sistem politik negara tetapi boleh diadakan jika keadaan memerlukan.
Ditanya sama ada beliau akan menerima pelawaan debat dengan pembangkang, Najib berkata: "Saya tak kata apa... yang penting rakyat mesti ada maklumat secukupnya untuk buat keputusan."
Perdana Menteri berkata, apa yang penting adalah rakyat mempunyai maklumat secukupnya untuk memilih pihak mana yang lebih layak mentadbir negara.
"Kita beri parti politik untuk siarkan manifesto bila sampai masanya dan mereka pun cukup aktif sekarang buat ceramah setiap hari... dan kita pun terangkan kepada rakyat jadi mereka dapat maklumat yang secukupnya untuk buat keputusan.
"Sama ada agenda kita lebih baik atau agenda pembangkang lebih baik. Sama ada kita ada kemampuan untuk laksanakan, tunaikan atau pembangkang lebih meyakinkan kepada rakyat. Itu mesti kita paparkan kepada rakyat bukan soal debat," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment