My Add

Saturday 2 June 2012

PRU13: Pas sudah sedia untuk ganti UMNO

*SEBAHAGIAN daripada ahli Pas yang hadir mendengar amanat presiden parti 

ROSNANI SAAD
ALOR SETAR, SABTU, 02 Jun, 2012:Pas sudah bersedia untuk menggantikan UMNO sebagai parti utama masyarakat Melayu-Islam di negara ini.

Malah, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pakatan Rakyat (PR) juga sedia menggantikan BN untuk memimpin negara ini.

Beliau berkata model Negara Berkebajikan yang ingin dibangunkan Pas menimbulkan kebimbangan UMNO-Barisan Nasional (BN) yang sejak 54 tahun lalu melakukan diskriminasi terhadap kaum lain dan kaum Melayu/Bumiputera.

"Model Negara Berkebajikan yang bersumberkan al-Quran dan Al-Sunnah ini diyakini akan memberi keadilan kepada semua manusia tanpa mengira kaum dan agama," katanya ketika menyampaikan Amanat Khas Presiden di Kompleks Pas Kedah, semalam, dipetik Sinar Harian.

Menurutnya, pembangunan sebuah Negara Berkebajikan adalah iltizam Pas sejak penubuhannya untuk menyampaikan rahmat (kasih sayang) ALLAH SWT bukan sahaja kepada manusia tetapi seluruh alam sejagat.

"Takrifan Negara Berkebajikan ialah kerajaan beramanah yang berpaksikan prinsip adil dan ihsan dalam seluruh sistem pemerintahan termasuk pentadbiran, perundangan, kehakiman, politik, ekonomi dan sosial.

"Ia seterusnya membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berlumba-lumba melakukan kebajikan dan saling bekerjasama ke arah kejayaan pemerintah dan rakyat di dunia dan akhirat," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Hadi menyatakan kesediaan untuk berdialog dengan mana-mana pihak daripada kalangan kumpulan NGO Islam mengenai dakwaan kononnya Pas lari daripada perjuangan selain menerangkan pendirian parti itu.

Bercakap kepada media kemudiannya, beliau berkata Pas berhasrat mengadakan sesi dialog bersama badan bukan kerajaan (NGO) secara besar-besaran selepas penganjuran dialog melibatkan sebahagian daripada NGO Islam di negara ini minggu lalu.

Menurutnya, dialog berkenaan akan dibuka penyertaannya kepada semua pihak kerana ia bukan perbahasan tetapi untuk mencari titik pertemuan dan memberi penjelasan mengikut al-Quran dan hadis.

"Minggu lepas kita sudah mengadakan perjumpaan dengan sebahagian NGO Islam dan kita akan buat besar-besaran dan menyeluruh," katanya.

No comments:

Post a Comment