My Add

Saturday 9 June 2012

SPA ke sekolah, IPT beri penerangan peluang kerja

PUTRAJAYA, JUMAAT, 08 Jun, 2012: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi akan turun padang ke sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk sesi penerangan kepada pelajar berhubung pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor awam. 

Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam, berkata lawatan itu akan diadakan dalam masa terdekat untuk menarik minat mereka berkhidmat sebagai penjawat awam sebaik menamatkan pembelajaran.

Mahmood berkata, masih banyak pihak belum tahu kemudahan-kemudahan yang dinikmati penjawat awam antaranya peluang kenaikan pangkat, pinjaman perumahan, kenderaan dan komputer serta peluang melanjutkan pelajaran yang ditanggung kerajaan.

"Dengan sesi penerangan itu, kita harap minat itu bertambah. Kita pun sudah sampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan beliau setuju minta kita turun ke bawah 'go to the ground' berjumpa dengan pelbagai pihak untuk memberi penerangan. 

"Perdana Menteri juga mahu supaya penjawat awam yang akan dilantik ini nanti seorang yang profesional, berinisiatif, proaktif, berfikiran terbuka dan positif," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog SPA bersama kementerian, jabatan dan pentadbiran negeri di bawah bidang kuasa SPA di sini hari ini. 

Mahmood juga berkata, SPA akan mengadakan pertemuan dengan parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan pandangan berhubung isu kekurangan penyertaan bukan Bumiputera dalam sektor awam seperti yang dilaporkan baru-baru ini. 

"Laporan (mengenai kekurangan penyertaan bukan Bumiputera) sudah ada. Cuma kita nak dapat lebih terperinci lagi. Kita nak faham apa masyarakat Cina, India dan kaum-kaum lain nak. Apa masalah dia. Kenapa dia tidak tertarik dalam sektor awam," katanya. 

Baru-baru ini SPA memaklumkan, pada tahun lalu hanya 20 peratus kaum bukan Bumiputera memohon pekerjaan dalam sektor awam iaitu masing-masing dua peratus untuk kaum India dan Cina dan 16 peratus lagi kaum-kaum lain berbanding 80 peratus permohonan daripada calon Bumiputera. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment