KUALA LUMPUR, JUMAAT, 22 Jun, 2012: Seorang suri rumah didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan memecah cermin kereta suaminya, minggu lalu.
Majistret Parvin Hameedah Natchiar menjatuhi hukuman itu ke atas Yap Huey Nuo, 44, yang didakwa melakukan perbuatan khianat itu terhadap Sok Hock Quei, 43.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan 17/42 Taman Lawa Off Jalan Kuching, Sentul di sini pada jam 6.25 petang 10 Jun lalu.
Ibu kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, kejadian itu berlaku selepas pertengkaran antara Yap dan suami yang menyebabkan tertuduh membaling sebilah pisau pemotong daging ke arah kereta suaminya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Siew Ping manakala tertuduh diwakili peguam Rohani Ibrahim.
Yap membayar denda itu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment