My Add

Friday 1 June 2012

Tindakan tegas terhadap dalang mogok pemandu bas

KOTA BHARU, JUMAAT, 01 Jun, 2012: Pihak pengurusan Konsortium Transnasional Berhad (KTB), syarikat induk kepada Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK), akan mengambil tindakan tegas terhadap dalang di sebalik tindakan sekumpulan pemandu bas Cityliner menghentikan perkhidmatan bas itu, Isnin lalu. 

Pengarah Eksekutif KTB, Tengku Hasmadi Tengku Hashim, berkata tindakan mogok itu boleh mencemarkan nama baik dan imej syarikat.

Katanya, tindakan yang didakwa berpunca daripada kelewatan pihak syarikat membayar gaji adalah tidak berasas sama sekali.

Ini kerana mengikut persetujuan dalam pekeliling majikan, mulai 1 Januari tahun ini, majikan akan membayar gaji petugas pada hari akhir setiap bulan, katanya ketika dihubungi hari ini. 

Tengku Hasmadi mengulas tindakan 168 pemandu bas henti-henti Cityliner melancarkan mogok dengan menghentikan perkhidmatan bas dan mendesak majikan menyegerakan pembayaran gaji mereka. 

Tengku Hasmadi menjelaskan bahawa jika hari akhir setiap bulan itu jatuh pada hari minggu atau cuti am, gaji akan dibayar pada hari Jumaat berikutnya. 

Beliau menarik perhatian bahawa mengikut peraturan buruh, majikan berhak membayar gaji pekerja dalam masa tujuh hari dalam bulan berikutnya. 

Tengku Hasmadi berkata, jika benar tuntutan kumpulan pemandu itu berdasarkan kegagalan pihak syarikat menangani isu kelewatan bayaran gaji, mengapa ia tidak turut membabitkan kira-kira 3,000 pekerja lain syarikat itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment