My Add

Thursday 10 January 2013

4 penjenayah berputih mata traktor curi tidak sempat dijual

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 10 Januari, 2013: Empat penjenayah berputih mata selepas polis menggagalkan cubaan mereka untuk menjual tiga traktor pembajak (Kubota) bernilai RM210,000 yang dilarikan mereka, di Taiping, Perak, lima hari lalu.

Traktor pembajak yang sepatutnya sampai kepada pembeli di Ipoh, Perak dari pembekal di Puchong, Selangor pada 29 Dis lepas dilarikan dua pekerja syarikat penghantaran sebelum disembunyikan di sebuah stor di Taman Simpang Bersatu, Taiping.

Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, pihak pengurusan pembekal menyedari kehilangan traktor itu namun hanya membuat laporan polis lima hari selepas mendapat aduan daripada pembeli dan selepas gagal menghubungi suspek yang menghantar traktor terbabit.

"Selepas menerima laporan, pihak polis menubuhkan Team Lejang untuk menyiasat kes tersebut sebelum mendapat maklumat traktor itu disembunyikan di sebuah stor di Taiping," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, polis turut menahan dua penjaga stor serta dua pekerja syarikat penghantaran masing-masing di stor itu dan di Tanjung Malim pada hari yang sama traktor ditemui pada kira-kira 3 pagi.

"Kita turut menahan pemilik stor tersebut bagi membantu siasatan," katanya.
Katanya daripada siasatan awal, polis percaya traktor tersebut disimpan di situ sebelum diserahkan kepada pembeli lain. 

Katanya, siasatan mendapati keempat-empat suspek yang berumur antara 30 hingga 50 tahun itu positif dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan dan Seksyen 411 kanun yang sama kerana memiliki barang curi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment