My Add

Monday 28 January 2013

Agihan 20 peratus royalti minyak kepada negeri boleh bebankan Petronas

KUALA TERENGGANU, ISNIN, 28 Januari, 2013: Agihan royalti dan wang ehsan sebanyak 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak dilihat boleh membebankan syarikat minyak nasional Petronas yang turut membantu dalam pembangunan negeri lain di Malaysia.

Penasihat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu, Datuk Wan Md Albakri Md Noor, berkata perjanjian agihan royalti minyak sebanyak lima peratus kepada Sabah dan Sarawak selain wang ihsan kepada Terengganu telah termaktub dalam perjanjian sejak Petronas ditubuhkan.

"Kalau kita lihat dari segi struktur hasil negara, itu (minyak) merupakan satu sumber yang begitu besar... jadi sumber petroleum merupakan sumber negara yang terbesar, maka hasil itu mestilah digunakan untuk membangunkan semua negeri-negeri," katanya kepada Bernama di sini.

Katanya keistimewaan yang diberikan kepada negeri pengeluar minyak ketika awal perjanjian dengan Petronas adalah atas faktor negeri-negeri yang terbabit ketika itu merupakan antara negeri yang masih lagi mundur dan memerlukan lebih banyak pembangunan.

Katanya isu royalti dibangkitkan oleh pihak pembangkang ketika ini hanya semata-mata bermotif politik dan bukan atas agenda untuk membangunkan negeri terbabit.

Beliau berkata isu yang dibangkitkan pembangkang itu tidak banyak memberi kesan kepada sokongan politik kepada Barisan Nasional (BN).

"Orang Terengganu saya rasa lima peratus, 10 peratus, 20 peratus royalti, bukan itu buat orang untuk sokong kerajaan atau tidak sokong, royalti tidak banyak mempengaruhi pilihan raya, tapi kalau orang tak sokong kerajaan mesti dia kata mengapa tidak bagi 20 peratus.. ianya bukan satu isu buat orang betul-betul beri sokongan," katanya. 

Katanya jika kadar agihan tersebut dinaikkan kepada 20 peratus sebagai contoh Terengganu mendapat wang ehsan RM1.8 bilion setahun, maka ia sudah pasti akan meningkat kepada hampir RM8 bilion seandainya perkara itu menjadi kenyataan.

"Bagi 20 peratus (royalti) ini secara umum satu angka yang tidak realistik untuk diagihkan kepada negeri, kalaulah nak lebih sikit, wajar dipertimbangkan," katanya.

Menurutnya progam dan agenda kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat sebenarnya lebih penting daripada tuntutan royalti minyak sebagaimana yang dicanangkan oleh pihak pembangkang hari ini.

"Yang rakyat mahu ialah ekonomi mereka bertambah tidak ditahap lama, kalau pendapatan RM1,000 meningkat kepada RM1,500 dan begitulah seterusnya, ini yang lebih penting bagi saya dalam perancangan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri bagaimana untuk membantu dan menggerakkan kemajuan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Petronas juga perlu melihat kembali kesan ekonomi kepada rakyat hasil perkembangan industri minyak seperti yang telah wujud di Terengganu.

Katanya Petronas perlu melihat mengenai peluang pekerjaan yang boleh rakyat Terengganu peroleh hasil perkembangan industri minyak di negeri ini.

Beliau berkata dalam industri petroleum peluang pekerjaan hanya akan wujud pada peringkat awal perkembangan industri tersebut khasnya dalam pembangunan prasarana industri yang memerlukan ribuan tenaga kerja.

"Sebab itu saya lihat di Terengganu, bukan tidak ada kesan, tetapi tidak sebagaimana jumlah pelaburan yang dibuat, sebab itu kita lihat pembangunan di Paka dan Kertih rancak semasa pembinaan, apabila dia dah mula keluar produk (beroperasi) maka pekerja kuranglah," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment