My Add

Tuesday 15 January 2013

Bantuan persekolahan RM100 mula diagih hari ini

 *DARI kanan Abidah Mohd Akhyar, 11; Nur Farhana Abdul Wahab, 11; Kristina Joiseli, 12; A. Amyalesha, 12; Alvin Cheah You Wei, 11 dan Ooi Jo Yun, 11 gembira sambil menunjukkan duit yang diperolehi mereka selepas Majlis Penyamapaian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 Tahun 2013 Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Damai SMK Hutan Kampung di Alor Setar hari ini. - UTUSAN/KAMAL BASIR

Oleh SOFIAN BAHAROM
KUALA LUMPUR, SELASA, 15 Januari, 2013: Sebanyak 4.98 juta pelajar sekolah di seluruh negara menerima Bantuan Persekolahan RM100 yang mula diagihkan bermula hari ini.

Bantuan kali kedua di bawah Bajet 2013 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak itu memperuntukkan dana RM540 juta bertujuan membantu perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.

Berteraskan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, bantuan itu mendapat reaksi positif daripada golongan ibu bapa yang menyifatkannya sebagai cerminan keprihatinan kerajaan terhadap nasib rakyat.

Tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Taman Connaught, Cheras di sini mendapati rata-rata ibu bapa telah tiba seawal 9 pagi untuk mendapatkan bantuan tersebut daripada pihak sekolah.

Seorang bapa, Chin Keng Woon, 42, berkata, dia berterima kasih dengan bantuan tersebut dan berharap keprihatinan kerajaan terhadap rakyat tidak berhenti setakat ini.

Dalam masa sama, Keng Woon turut meminta kerajaan meningkatkan peruntukan RM100 tersebut kepada RM200.

"Harapan kami, ibu bapa ialah agar kerajaan meneruskan lagi kecemerlangan mentadbir negara supaya rakyat dapat merasai kenikmatan daripada kepesatan ekonomi Malaysia," katanya ketika ditemui. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment