My Add

Thursday 3 January 2013

Bekas ahli PKM bertuah berpeluang nikmati hasil cemerlang pemimpin negara

PADANG BESAR, KHAMIS, 03 Januari, 2013: Bekas anggota propaganda Parti Komunis Malaya, Othman Teh, 84, berasa bertuah selepas kembali ke pangkuan masyarakat 40 tahun lalu kerana berpeluang menyaksikan dan menikmati hasil usaha cemerlang kepimpinan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara.

Beliau yang juga pernah dikenali sebagai "Pak Man Komunis" itu berkata, sistem penyampaian negara juga amat berkesan malah beliau adalah salah seorang daripada jutaan rakyat Malaysia yang mendapat manfaat itu.

Othman yang kini menghadapi masalah pendengaran berkata, rakyat Malaysia bertuah kerana berada dalam sebuah negara yang ditadbir oleh para pemimpin yang cekap dan sentiasa mengambil berat masalah rakyat.

Katanya, rakyat sudah pasti mahukan kerajaan yang terbaik dan kepimpinan parti yang memerintah perlu terus menunjukkan keupayaan dan bukan saling "korek kepala kudis" sehingga masing-masing menjadi sakit dan menjijikkan.

Warga emas yang kini terlantar di kediamannya di Kampung Tersusun dekat sini berkata, walaupun beliau menyertai UMNO sejak parti itu diwujudkan pada 1946, beliau hanya kembali ke pangkuan masyarakat selepas perjanjian damai PKM di Hatyai, Thailand pada 1989.

"Saya gembira kerana kerajaan tidak pilih kasih dalam menyalurkan sumbangan dan saya menikmati keindahan hidup di sini. Saya juga dapat bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya kepada pemberita selepas dikunjungi Pengarah JKM Perlis Abdullah Ali, semalam.

Katanya, beliau kini bergantung hidup dengan bantuan bulanan JKM dan yakin akan terus menikmati bantuan yang lain seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Belanjawan 2013 termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) 2.0. 

Othman berkata, beliau tidak pernah merasa terpinggir kerana Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga mengambil berat terhadapnya sebagaimana mereka mengambil berat terhadap orang lain.

Beliau percaya rakyat akan terus memberi mandat kepada kerajaan BN kerana sistem penyampaiannya yang berkesan di samping pembangunan yang telah dibawa untuk kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, menurutnya, kemenangan parti itu akan lebih bermakna jika para pemimpinnya sering turun padang dan tidak bercakaran sesama sendiri sehingga dilihat rakyat bahawa mereka tidak bersatu.

Othman yang menetap di sebuah rumah papan bersama isterinya, Rokiah Jusoh, 61, berkata, beliau tidak pernah berniat menderhaka kepada negara ketika itu kerana semangatnya sentiasa berkobar-kobar untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajah tetapi tersalah memilih landangan perjuangan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment