My Add

Monday 21 January 2013

China tidak berpuas hati

BEIJING, AHAD, 20 Januari, 2013: China hari ini mengaku 'sangat tidak berpuas hati' dengan kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton, yang seakan-akan memberi amaran terselindung kepada Beijing agar tidak mencabar penguasaan Jepun ke atas kepulauan yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara di Laut China Timur.

Jurucakap Kementerian Luar China, Qin Gang berkata, China 'sangat tidak berpuas hati dan dengan tegas membantah' kenyataan Clinton itu.

"Kami mendesak AS bertindak bertanggungjawab dalam isu pertikaian di kepulauan Diaoyu (nama yang digunakan China merujuk kepada kepulauan yang turut dikenali sebagai Senkaku di Jepun)," katanya dalam laman web kementerian itu.

Kelmarin, Clinton membuat kenyataan pada satu sidang media bersama Menteri Luar Jepun, Fumio Kishida di Washington bahawa pihaknya membantah sebarang tindakan sehala yang menjejaskan pentadbiran Jepun di kawasan maritim itu.

Clinton, bagaimanapun tidak merujuk kepada Beijing secara langsung, namun berkata, beliau mahukan China dan Jepun menyelesaikan isu tersebut secara aman.

"Kami tidak mahu melihat sebarang tindakan, tidak kira pihak mana, yang boleh meningkatkan ketegangan atau menjejaskan keamanan, keselamatan dan perkembangan ekonomi serantau," kata beliau.

Sementara itu di Tokyo, Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk melepaskan tembakan amaran dan mengambil langkah-langkah lain bagi mengelak pesawat-pesawat asing daripada menceroboh ruang udaranya.

Beliau berkata demikian berikutan insiden pesawat pejuang China didakwa mengekori pesawat Jepun dekat kepulauan itu, baru-baru ini. - AFP

No comments:

Post a Comment