My Add

Tuesday 22 January 2013

Ejen hartanah ditahan, dadah lebih RM750,000 dirampas

 *KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir bersama pegawainya menunjukkan dadah dan beberapa barangan lain seperti wang tunai dan barang kemas yang dirampas sewaktu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini. - UTUSAN

lSHAH ALAM, SELASA, 22 Januari, 2013: Polis menahan seorang ejen hartanah yang dipercayai dalang kepada satu sindiket pengedaran dadah dan merampas sebanyak 12,930 gram pelbagai jenis dadah yang dianggarkan berjumlah RM752,237 dalam dua serbuan pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Dalam serbuan pertama kira-kira pukul 3.15 petang, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menahan suspek berusia 27 tahun dalam sebuah kereta jenis Proton Saga Aeroback di Pandan Indah dekat sini.

Pemeriksaan dalam kereta suspek menemukan satu beg besar mengandungi 12 bungkusan dadah jenis heroin seberat 5,433 gram yang dibungkus dengan akhbar dan lapan peket kecil dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 408 gram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, hasil soal siasat ke atas suspek membawa polis ke sebuah kondominium milik suspek di Pandan Indah dan menemui 290 biji pil Eramin 5, wang tunai RM22,000 dan beberapa barang kemas milik suspek.

“Polis turut menyita sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer dipercayai milik suspek yang turut melakukan aktiviti ah long," kata beliau dalam sidang akhbar di Pusat Media Polis Selangor di sini hari ini.

Nordin berkata, hasil soal siasat ke atas suspek, pada pukul 12.40 tengah hari keesokan harinya, polis mengesan sebuah lagi rumah sewa yang dijadikan stor menyimpan dadah dan menemui 6,500 gram dadah disyaki jenis heroin, syabu (394 gram), ketamin (100 gram) dan 50 biji pil Eramin 5 yang dianggarkan bernilai RM412,740.

“Kita percaya rumah itu dijadikan sebagai stor membungkus dadah berdasarkan peralatan yang ditemui seperti alat penimbang dan peket-peket plastik kosong.

“Polis sedang mengesan ahli-ahli sindiket yang lain dan akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti hubung kait antara suspek dengan abangnya yang sedang menunggu perbicaraan atas kesalahan mengedar dadah jenis heroin seberat 680 gram di Seri Kembangan pada 2010," katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman sehingga 25 Januari ini dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment