My Add

Monday 21 January 2013

Guan Eng terus elak beri reaksi isu kalimah Allah

GEORGETOWN, ISNIN, 21 Januari, 2013: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terus mengelak daripada wartawan yang cuba mendapatkan reaksi beliau mengenai keputusan Pas menolak penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.

Beliau terus beredar tanpa menghiraukan soalan wartawan selepas sidang media mengenai penafian pembabitan kerajaan negeri dalam penganjuran Penang Run 2013, di sini, hari ini.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP tidak melayan soalan yang diajukan kepada beliau dan terus meninggalkan majlis di pejabatnya itu walaupun dipanggil berkali-kali oleh wartawan.


Isu kalimah Allah dibangkitkan oleh beliau dalam ucapannya sempena Hari Natal yang menggesa kerajaan Persekutuan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.

Kenyataan Lim itu mendapat bantahan pelbagai pihak, tetapi disokong para pemimpin pakatan pembangkang termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Pas dan pemimpinnya termasuk Nik Abdul Aziz kemudian menukar pendirian kepada tidak bersetuju atas alasan kalimah Allah hanya merujuk kepada Tuhan yang satu malah Nik Abdul Aziz menyifatkan penggunaan kalimah Allah bagi agama lain adalah mengarut.

Kenyataan Lim terus mendapat tentangan pelbagai pihak terutama Pas menyatakan tidak akan menarik balik keputusan Majlis Syura berhubung kalimah Allah walaupun Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh meminta supaya ia dikaji semula. 

Sementara itu, Lim juga enggan menjawab apabila seorang wartawan cuba mendapatkan reaksi beliau mengenai demonstrasi oleh sekumpulan individu yang mendakwa anggota dan penyokong DAP di Pusat Khidmat Air Putih, di sini, hari ini.

"Biar mereka berhimpun... saya akan komen esok," katanya.

Kira-kira 45 orang yang didakwa penyokong DAP dan Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap keputusan pengundian Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada 15 Disember lalu.

Sekumpulan individu yang mendakwa penyokong dan anggota DAP dari beberapa kawasan telah mengadakan demonstrasi selama tiga hari sejak Rabu dan Jumaat lalu di Butterworth dan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) untuk menggesa DAP mengadakan pemilihan semula CEC.

Sementara itu, Ramasamy ketika ditemui menafikan kumpulan yang berdemonstrasi itu adalah penyokong beliau.

"Penyokong saya tak akan buat macam itu... mereka akan tanya pandangan saya dulu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment