My Add

Monday 14 January 2013

Iktiraf lulusan tahfiz

Oleh JAMLIAH ABDULLAH

ALOR SETAR, AHAD, 13 Januari, 2013: Pentadbiran institusi tahfiz di negara ini diminta bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam memastikan lulusannya mendapat pengiktirafan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, usaha itu penting dalam melonjak prestasi institusi tersebut, sekali gus memastikan pelajarnya mempunyai peluang pekerjaan yang cerah kelak.

Katanya, sehingga kini 13 institusi tahfiz tampil menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dengan institusi agama terkenal negara, Darul Quran yang dikendalikan oleh Jakim.

"Kerjasama pintar ini memudahkan proses bagi institusi terlibat mendapatkan pengiktirafan akreditasi daripada Lembaga Akreditasi Negara (LAN).

"Usaha ini penting untuk memberi peluang kepada lulusannya bersaing secara adil. Jika sijil yang ditawarkan tidak diperakui mereka tidak dapat bersaing di pasaran kerja seperti pelajar lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Madrasah Mazahirul Ulum Kampung Bukit Choras, Kota Sarang Semut di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengerusinya, Shahrul Nizam Salleh.

Jamil Khir menambah, Jakim sentiasa membuka ruang menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pentadbiran maahad tahfiz.

"Jakim sentiasa berusaha mencari institusi tahfiz yang dapat duduk bersama dan menjalin kerjasama dengan Darul Quran demi masa depan bakal lulusan mereka," katanya.

Katanya, kerajaan sentiasa prihatin dengan pembangunan institusi tahfiz dalam usaha melahirkan lebih ramai golongan hafiz di negara ini.

"Kesungguhan pihak pentadbiran maahad membangunkan institusi ini dipuji seperti madrasah ini yang jika 10 tahun dahulu sekolahnya amat daif, tetapi kini sudah ada bangunan baharu. Kerajaan akan turut membantu untuk merealisasikan pembangunan tersebut," katanya lagi.

Dianggarkan sehingga kini terdapat lebih 300 institusi tahfiz beroperasi di seluruh negara.

Dalam pada itu menurut Shahrul Nizam, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan yang ditunjukkan terhadap institusi itu.

"Pembinaan bangunan baharu sekolah ini menelan kos sehingga RM660,000 dan dana diperoleh daripada sumbangan orang ramai hanya RM150,000. Dalam usaha menyempurnakan pembinaan bangunan untuk asrama dan kelas pelajar ini, kami memerlukan dana sebanyak RM510,000 dan kami sangat berharap kerajaan dan orang ramai akan membantu," katanya.

Tambah beliau, madrasah tersebut yang diwujudkan sejak 2001 kini mempunyai seramai 150 pelajar lelaki yang berusia 12 hingga 25 tahun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment